Friday, January 18, 2008

Cinta kepada Allah dan kerana Allah


Cinta kepada Allah dan kerana Allah - الحب في الله ولله


Apa yang kau kejar dalam kehidupan ini?
Harta? Wang? Kesenangan? Darjat?
Yang kau tumpang dari penghidupan orang lain.

Apa yang ingin kau pamerkan?
Wajah? Kecantikan? Keayuan? Kelembutan?
Yang kau damba pendambaan orang lain terhadap dirimu.

Maka mana pergi kasih dan cinta buat Tuhanmu?
Kau sebalikkan ia di belakang matlamat duniawi mu
Berselindung disebalik nama agamamu
Memproklamirkan sifat-sifat wanita yang baik-baik
Buat tuntutan keseronokan jasmanimu
Adakah ini tujuan hidupmu?

Jika kau cintakan dia kerana paras rupanya
Maka jika hilang paras rupanya.. adakah tingkat cintamu padanya akan sama?

Jika kau cintakan dia kerana duitnya, hartanya
Maka jika hilang segala kekayaannya.. adakah kau akan tetap menyintainya?

Jika kau cintakan dia kerana pujian orang lain terhadapnya
Maka jika hilang segala pujian itu.. adakah kau masih akan menyintainya?

Jika kau cintakan dia kerana ilmunya
Maka jika Allah swt menarik semula ilmu drpnya.. adakah kau akan sama menyintainya seperti mula-mula dahulu?

Jika kau rasa dialah yang paling lawa / handsome
Fikir.. sudah tentu yang menciptakan kecantikannya itu lagi lawa daripadanya
Maka sesungguhnya Allah lah yang Maha Cantik

Jika kau rasa dialah yang paling kaya dan berharta
Fikir.. sudah tentu yang menjadikan dia kaya, lagi kaya daripadanya
Maka sesungguhnya Allah itu lagi Maha Kaya

Jika kau rasa dialah yang paling baik hati
Fikir.. sudah tentu yang menjadikan dia baik hati, adalah lebih baik hati daripadanya
Maka Allah lah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Jika kau rasa dialah itu dan ini
Jadi di mana mahu kau letakkan cinta kepada Allah swt?
Bukankah dia yang memberikanmu nafas
Yang tidak perlu kau bayar
Yang kau sedut 24 hours tanpa henti
Yang kau ucapkan terima kasih padaNya hanya beberapa kali sehari?
Dan lain-lain nikmat yang kau rasai sekarang.
Tidakkah kau risau
Jika kau terlalu sayangkan / cintakan dia
Allah akan cemburu padamu?

Jadi,
Di mana cinta Ilahi di dalam hatimu?


nur el-huda, 17 Januari 2008, 20:47,
SPC, Jabal at-Tajj.


*******


Di sini aku letakkan sebuah Puisi Cinta milik Rabiatul Adawiyah. Puisi ini berkisar tentang betapa dalamnya cinta Rabiatul kepada Allah. Bukan kerana mengharapkan syurga atau kerana takutkan NerakaNya, tetapi kerana Allah.. hanya kerana Allah.



أحبك حبين حب الهوى * وحبا لأنك أهل لذاكا
فأما الذي هو حب الهوى * فشغلي بذكرك عمن سواكا
وأما الذي أنت أهل له * فكشفك للحجب حتى أراكا

فلا الحمد في ذا وذاك لي * ولكن لك الحمد في ذا وذاكا

Tuesday, January 08, 2008

Melihat Hanya Pada Allah


Secara fitrahnya, bahawa pada setiap diri manusia telah dibekalkan dengan fitrah untuk meyakini wujudnya Allah s.w.t dan segala kejadian yang menunjukkan kepada kebesaran kekuasaanNya. Fitrah ini tidak boleh diubah dan ia tiada pengecualian bangsa, agama, kedudukan, tempat, persekitaran, situasi dan iklim. Sebagaimana kita semua telah berikrar di hadapan Allah SWT seketika dahulu. Hal ini telah dirakamkan dalam surah al-A’raf (7 : 172) yang bermaksud :


"Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".



Lagi firman Allah SWT dalam surah ar-Rum (30:30) yang bermaksud :


" maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu..."


Tetapi, keimanan dan kepercayaan pada Allah akan berubah apabila seseorang meningkat dewasa samada mengikut perasaannya atau faktor persekitaran. Dia berpotensi untuk menjadi kafir dan syirik jika tidak dapat benar-benar menghayati dan mengambil istifadah dari sirah dan peristiwa umat-umat terdahulu melalui Rasul yang diutuskanNya atau dia sendiri yang suka menentang kebenaran, menerima aqidah selain daripada yang disyariatkan oleh Allah SWT, malah mengabaikan pula wahyu dari Allah iaitu al-Quran dan as-Sunnah.


Dari hadith sahih Bukhari :

ما من مولود إلا يؤلد على الفطرة فابواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

Riwayat daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.


Jelas dari hadith ini bahawa pada setiap diri anak Adam yang dilahirkan, dia suci dalam aqidahnya. Jika dia mati sebelum umur akil baligh, dia tidak akan dihisab dan tidak dimasukkan ke dalam neraka walaupun kedua ibubapanya adalah Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Tetapi, jika dia mati setelah umurnya akil baligh, kemudian dikafirkan aqidahnya oleh kedua orang tuanya atau dengan kehendak dia sendiri, maka dia mati dalam kekafiran.


Lihat pula pada diri manusia itu. Setiap dari mereka mempunyai akal yang dikurniakan Allah SWT. Mereka senantiasa berfikir pada setiap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dan ke atas diri mereka.


Mereka tidak boleh lari dari permasalahan siapakah yang menjadikan alam ini, kuasa apakah yang sangat besar mengatur segala-galanya dengan baik, bila, dengan apa dan bagaimana. Pelbagai persoalan yang bertuju-tuju datang. Dari sinilah al-Quran dan hadith memainkan peranan dalam memandu aktiviti berfikir manusia. Ali bin Abi Talib r.a berkata :

العقل في القلب

(akal itu di dalam hati)


Bahawasanya al-Quran itu telah cukup untuk menerangkan segala yang berlaku dan yang manusia alami. Tetapi senang saja sesetengah manusia menolak bulat-bulat isi al-Quranul Karim dan menafikannya. Allah SWT berfirman dalam surah al-‘Araf ayat 179 yang bermaksud :


"Bagi mereka yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah)"

Sebagaimana yang terjadi terhadap golongan Muktazilah yang lebih mendahulukan pandangan akal fikiran daripada al-Quran dan kemudian barulah sunnah nabinya.

Orang-orang seperti mereka ini nyata mendustakan isi kalimah al-Quran. Bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Tuhan, Rabb Yang Maha Mengetahui segala keperluan hamba-hambaNya dan pengkhabaran bahawa Dialah sebenar-benar Tuhan. Banyak ayat di dalam surah-surah yang boleh kita baca, fahamkan dan kaji tentang kekuasaan Allah SWT. Contohnya seperti di dalam surah (ar-Ra’d :16), (al-‘Araf : 54), dan (al-Furqan : 2)


Walaupun ada golongan yang menentang agama Allah dan kebenarannya, di bahagian lainnya pula ada segolongan yang menegakkan agama dan syariatNya. Mereka tidak takut untuk mengatakan kebenaran kalimah Allah yang Haq. Mereka tidak takut pada segala ancaman atas diri mereka. Pada hati mereka terdapat hanyalah Allah, nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya yang Agung. Mereka memeliharanya dengan baik. tidak ada yang dapat menyamai atau sekutu denganNya. Sebagaimana firman Allah (42:11) yang bermaksud :


“ Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”


Sama keadaannya sebagaimana disebutkan dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 iaitu :



1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".


Mereka meletakkan pengharapan hanya kepada Allah,lidah, hati dan tingkahlaku mereka hanya bersandar kepada Allah. Contohnya sebagaimana yang terjadi dalam kisah Imam Ahmad serta sahabat-sahabatnya, Salahuddin al-Ayyubi ataupun Imam ash-'Ari.

Tingkah laku mereka jelas tergambar dalam pengibadahan kepada Allah. Mereka sungguh-sungguh dalam melakukannya. Niat mereka ikhlas semata-mata kerana Allah. Perasaan, hati, keyakinan, dan jiwa tunduk kepada kebesaran kekuasaan Allah.


Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (al-An'am : 162)


Mereka tulus dalam melaksanakan perintah Allah kerana kecintaan yang suci pada Allah. Dialah yang paling sempurna zat, nama dan sifat, serta semulajadi fitrah manusia itu sukakan kepada kesempurnaan. Maka Allah adalah jalan terbaik yang kekal selama-lamanya. Ibn Qaiyim al-Jauzi berkata :

“Apabila pengibadatan seorang hamba Allah Taala dikaitkan dengan kecintaan kerana kebesaran dan kesempurnaanNya, maka nikmat yang timbul adalah merupakan kurnia dan ihsanNya, ia wajib disyukuri.”

Di sinilah, maka manusia dapat merasai halawatul iman.


قال النبى صلى الله عليه وسلم قال ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الإيمان من كان الله ورسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله وأن يكره أن يعود في الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف في النار


Riwayat daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.


Sedikit sejarah ringkas tentang ash-‘Ari ialah sepertimana yang kita ketahui bahawa beliau pada dahulunya adalah seorang pengikut aliran Muktazilah yang hidup bersama bapa tirinya iaitu Abu Ali al-Jubaie juga seorang ulama besar aliran Muktazilah.

Berpunca dari perbincangannya dengan al-Jubaie, ash-'Ari yang meragui konsep dosa besar serta masuk syurga dan neraka bagi tiga keadaan manusia yang berlainan. Yang pertama; mati seseorang dewasa yang taat soleh dan dia masuk syurga, kedua; mati seseorang dewasa yang bermaksiat dan dia masuk neraka, dan ketiga; mati seorang kanak-kanak yang Allah matikan dengan tidak diberi pahala mahupun dosa. Al-Jubaie tidak dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan ash-‘Ari itu. Serta mimpi ash-‘Ari berjumpa Rasulullah sebanyak tiga kali telah membuka hatinya kepada hidayah. Akhirnya beliau meninggalkan fahaman Muktazilah dan bermufaraqah dengan al-Jubaie. Beliau mengithbatkan segala sifat-sifat Allah SWT tanpa takyif, tamsil, tashbih, ta’til, tahrif (menyimpangkan atau merubah) dan tajsim (menjasmanikan) sesuai dengan fahaman Imam Ahmad bin Hambal sebagaimana muqaddimahnya dalam kitab al-Ibanah, Maqalat al-Islamiyyin dan dalam rujukan kitab al-Bidayah wan-Nihayah.
(sirah asy-Sya’ari boleh kalian baca dalam kebanyakan kitab-kitab aqidah yang berkaitan)


منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الأشاعرة في التوحيد الله تعالى
مقالات الاسلاميين
البداية والنهاية
طبقات الفقهاء الشافعيين
القضاء والقدر في الاسلام

الفرق بين الفرق- الملل والنحل


~ nur el-huda, 6 Julai 2007, 08.21 am,
IT Garden, SIIUC,
Sri Putra City, Mahkota Hill ~