Monday, July 27, 2009

Dedicate


Alhamdulillah, syukur yang tertinggi hanya pada Allah dan segala puji-pujian selayaknya juga hanya untuk Allah. Terima kasih Tuhan atas kurniaanMu ini. Kumohon agar Kau redhai dan rahmati diriku, ilmu-ilmuku agar ia menjadi manfaat buat semua. Juga Kau beri sedikit kesempatan keseronokan di dunia ini buat diriku untuk merasainya (Konvokesyen KUIS kali ke-12) dan untuk lebih mengenaliMu. Betapa tandusnya hati dan jiwaku jika tanpa ilmu dariMu. Lalu Kau campakkan aku di sini (KUIS). Pengorbanan dan susah payah belajar selama ini terasa sedikit ’berbayar’. Alhamdulillah.


Di kesempatan ini, ingin saya nukilkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih terutama buat mak dan ayah yang selama ini menjadi penguat semangat, adik beradik yang banyak memberi sokongan, ustaz-ustazah yang tidak jemu memberikan curahan ilmu dan tunjuk ajar, sahabat-sahabat fillah yang dikasihi serta semua samada yang terlibat secara langsung atau tidak. Syukran jazakaAllahu khairan kathira. Semoga Allah sentiasa merahmati dan membalas jasa kalian dengan sebaik-baik kebaikan. InsyaAllah.


- the convocation -
Date: 18 July 2009
Day : Saturday
Location: KUIS, Bangi Bandar Ilmu



Friday, July 24, 2009

Sebak

Sebak membacanya setelah turun sahaja dari pentas yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim. Ucapan ini adalah lahir dari ayahanda rektor KUIS; Dato' Haji Mohd. Adanan bin Isman. Hampir menitiskan air mata, kata-kata ucapan ini sungguh menyentuh perasaan dan benar-benar masuk ke dalam hati. Bagi pendapat saya kata ucapan ini sungguh bermakna dan ia merupakan kata penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua graduan yang telah berpenat-lelah belajar bersungguh-sungguh selama ini hanya untuk sehelai kertas pengiktirafan. Semoga segala ilmu yang kita gali di sini diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. InsyaAllah. Syabas saya ucapkan.

*****

GRADUAN


Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

"Hari ini Sabtu 18 Julai 2009 bersamaan 25 Rejab 1430H dengan izin dan inayah Allah S.W.T anda dianugerahkan ijazah/Diploma sebagai penyuluh kegelapan, berupaya untuk memilih yang fitrah, dan menolak kebatilan berpandukan wahyu.


Kenangilah dalam doamu kepada insan yang memungkinkan anda ke tahap ini biar serendah mana ia di sisimu. Saya amat bersyukur dan bangga dapat membimbing anda menjadi ilmuan berpersonaliti unggul lagi mulia dan minda kelas pertama. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.


Saya mohon keredhaan Allah atas pertemuan singkat penuh erti ini, hayatilah moto KUIS sebagai 'Pemangkin Tradisi Ilmu' untuk menjadi penyubur semangat kembara ilmu yang melaut tak bertepi, masa yang panjang penuh liku. Laluilah kembara ini dengan sabar, dedikasi dan jati diri yang kental, tidak akan lekang dek panas dan tidak akan lapuk dek hujan, dicampak ke laut menjadi pulau, di darat subur menjadi tanaman, bermanfaat kepada semua.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai talian pertolongan luhur mencapai cita-cita. Setinggi 'TAHNIAH' saya kalungkan dan kepada Allah diserahkan segala usaha dan impian. Amin."

*****

Wednesday, July 22, 2009

LAGU RASMI KUIS


- klik untuk imej lebih jelas -


Ini merupakan lagu rasmi bagi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Lagu ini telah diilham cipta sendiri oleh ayahanda Dato' Haji Mohd Adanan bin Isman -Rektor KUIS. Lagu ini telah selamat dilancarkan dengan rasmi sempena Ekstival Konvo kali ke-12 pada 16 Julai 2009. Ekstival ini telah berlangsung selama 3 hari bagi meraikan para graduan KUIS yang tarikhnya jatuh pada 18 Julai 2009, di mana ia merupakan hari paling bahagia buat mahasiswa-mahasiswi KUIS yang telah selamat menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing -termasuk saya. =)

Alhamdulillah syukur yang tertinggi kepada Allah s.w.t kerana memberikan kesempatan yang seketika ini buat saya dan sahabat-sahabat untuk merasainya. Yang bangganya kerana saya merupakan batch yang pertama yang menyanyikan lagu ini selepas ia dilancarkan.

Terima kasih buat KUIS dan seluruh warganya.


Monday, July 20, 2009

Israk dan Mikraj –satu penghijrahan.


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.“

(surah al-Isra' ayat 1)

Mengingati peristiwa paling penting dalam sejarah umat Islam –Israk wal Mikraj banyak memberikan inspirasi paling berguna kepada umat Muhammad s.a.w. Israknya Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin membawa seribu satu perasaan yang tidak terbendungkan oleh baginda Rasulullah. Kemudian di-Mikrajkan pula merentasi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua ini berlaku atas izin Allah s.w.t dalam satu malam sahaja.

Baginda ketika itu tidak punya siapa-siapa di sisinya sebagai penguat semangat setelah kewafatan isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Keseorangan melalui saat-saat getir, kesusahan dan cercaan dalam dakwah terhadap bangsanya sendiri –kaum Musyrikin Jahiliyyah yang tetap tegar dengan fahaman nenek moyang mereka. Ternyata semua kejadian itu tidak sia-sia apabila belas dan kasih sayang Allah datang menjemput baginda dengan anugerah penuh agung iaitu wahyu yang diturunkan terus kepada baginda.

Salah satunya yang menjadi polemik dalam wahyu ini adalah ibadah solat yang disyariatkan merupakan titik tolak permulaan kehidupan seseorang manusia. Memandang ringan ibadah solat ini ibarat mengundang murka dari Allah s.w.t. Kerana di situlah (Solat) segala jiwa yang kosong keresahan, kebuntuan, masalah berat yang tidak tertanggungkan, kekecewaan yang tidak terbendungkan dan kemarahan terhadap manusia semuanya dihamburkan dan dilepaskan di hadapan Allah Ta’ala dalam tiap sujud penuh pengharapan, mengadu dengan penuh sendu, kerana kepada Allah-lah tempat sebaik-baik pengembalian. Sesungguhnya Allah benar yang Maha Mengetahui, yang memegang hati-hati kami dan yang menguasai segala-galanya.

Lalu kita ini sebagai umat akhir zaman tidak layak untuk memandang enteng perkara-perkara sebegini. Umat yang Allah jadikan kehidupannya penuh berpengetahuan, berilmu dan mampu mencipta pelbagai teknologi canggih sepatutnya lebih hampir untuk mengenal Allah dengan penerokaan alam kosmos dan astronomi sekaligus mempercayai perkara-perkara ghaib, tanggungjawab sebagai muslim sejati yang mukmin dan bertaqwa selain mengenang al-Aqsa yang dirampas Yahudi laknatullah.

Wajarnya 27 Rejab ini menjadi mainan kita difikiran, dan bukannya perkara-perkara lagha (yang melalaikan) yang menjadi tajuk utama kita dalam kehidupan. Wallahu Ta’ala a’lam, semoga Allah menerima segala amalan baik dari kita semua.


nur el-huda, 20 Julai 09 (27 Rejab 1430H)
D-G-4

Sunday, July 05, 2009

JODOH

Bismillahi wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasoro wa walah.

Entry kali ini bagi memenuhi persoalan seorang sahabat saya yang masih keliru tentang soal jodoh, pasangan hidup dan jaminan masa depan. Apepun harapannya agar dia memperoleh manfaat darinya yang saya agak, saya sudah mengulangi perkara ini banyak kali, kepada adik-adik saya, sahabat-sahabat fillah even di dalam banyak blog sekalipun. Secara ringkasnya dapat saya nukilkan begini;



Bilamana kita perkatakan soal jodoh, kahwin... memang merupakan satu ibadah. Sehingga di dalam kitab Feqah telah mengkhususkan satu bab yang membincangkan perkara ini iaitu bab Munakahat. Maka keseluruhan bab ini bermula dari bab mencari jodoh; iaitu si lelaki mencari dan perempuan pun mencari, walaupun hakikat sebenarnya kuasa yang mencari itu lelaki tetapi kuasa yg menentukan itu terletak pada perempuan. Lelaki hanya mencari sahaja, kalau perempuan kata tidak, maka tidaklah. Stop.

Soal jodoh ini bila kita bicarakan, ia berkaitan dengan perkara yang sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa kerana manusia itu satu makhluk yang hidup dan matinya di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari persoalan perkahwinan ataupun penceraian.

Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Ayat ni semacam sudah biasa bermain dibibir masyarakat kita. Memang benar semua itu atas kehendak Allah yang tentukan, tetapi di antara keduanya itu terdapat sedikit perbezaan. Dari segi perlaksanaan untuk menentukan jodoh kita kena ikhtiar mencari, tetapi untuk menentukan maut kita kena ikhtiar untuk menjauhi. Itu dua perkara yg berbeza.

Kita tidak menafikan jodoh memang di tangan tuhan, tetapi apabila lahir sahaja seorang manusia contohnya bayi perempuan; jodohnya sudah ada, tapi kita tidak tahu siapa dia (melayu ke...mat saleh ke…cina ke…) dan di mana dia. Tapi kalau lahir seorang anak lelaki kita tidak tahu siapa jodoh dia lagi, kerana kebiasaannya lelaki lebih tua daripada perempuan. Maka akhir apabila bertemu jodoh di antara mereka, maka ia dinamakan ketentuan Allah s.w.t

Manusia yang berfikir adalah manusia yang menggunakan akalnya daripada anugerah Allah dengan sebaiknya utk menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Dalam soal jodoh ini, kita boleh memilih dan berikhtiar. Kalaulah tiada ikhtiar memilih maka tidak akan timbullah hadith nabi rasulullah s.a.w:

“Dinikahi perempuan itu kerana 4 perkara: Pertama, kerana hartanya. Kedua, kerana keturunannya. Ketiga, kerana kecantikannya. Keempat, kerana agamanya. Maka yang lebih utama adalah perempuan yang beragama, pasti engkau akan beruntung.”

Masalah di mana kita berjumpa, samada dalam negeri atau luar negeri, di tempat kerja atau di universiti atau di mana sahaja itu terserah kepada Allah s.w.t, tapi dalam hati kita ini mesti ada hasrat hendak mencari jodoh yang sesuai dengan saranan rasulullah s.a.w tadi. Tapi yang kita bimbangi adalah aspek-aspek itu yang kita selalu abaikan. Bila berjumpa sahaja, berkasih, bercinta dan bla..bla..bla...oh timbulnya kasih sayang, tidak boleh berpisah... lautan api pun sanggup aku renangi dan pelbagai lagi istilah-istilah yang hebat-hebat, tetapi apabila berkahwin 2-3 bulan, timbul masalah, yang dulu asalnya bertemu, berkahwin begitu meriah, tapi akhirnya bercerai.

Nak salahkan siapa sekarang? Jangan pernah nak salahkan takdir sebab perkara sebegini tidak akan berlaku jika tidak ia sendiri berpunca daripada kita.

Jodoh ini sukar untuk ditafsirkan, sebab ada bermacam-macam ragam dan gaya tersendiri.

Sebab itu kata rasulullah s.a.w: Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (riwayat Muslim)

Maksudnya, Nabi menggalakkan umatnya supaya mengutamakan memilih bakal isteri atas dasar agamanya, kerana dengan agama seseorang itu akan selamat dan bahagia kehidupannya di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sebab itu tujuan Islam menekankan memilih calon isteri yang beragama kerana jika seorang lelaki yang memilih bakal isteri yang solehah dan baik akan mendapat jaminan kebahagiaan yang hakiki di dalam rumahtangganya. Nabi bersabda lagi yang maksudnya:

“Sesungguhnya dunia ini adalah suatu tempat keseronokan dan sebaik-baik keseronokan itu ialah wanita yang solehah”

-(riwayat Muslim dan Nasa’i)

Begitu juga dengan kecantikan semata-mata boleh membawa kepada kemusnahan rumahtangga. Lagi pun kecantikan itu tidak akan berkekalan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama dalah lebih baik”


-(riwayat Ibnu Majah)

Jadi pilihan di tangan anda. Maka pilihlah yang terbaik buat diri anda sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Wallahu ta'ala 'alam. Sekian. Wassalam.



nur el-huda, Sunday, 5 July 09,
2.33am, D-G-4