Friday, August 21, 2009

Ahlan Ya Ramadhan...


Akhirnya Ramadhan yang kurindui tiba jua. Terima kasih Ya Allah kerana masih memberikan kesempatan ini buat aku untuk terus menagih keampunan, kasih sayang dan sebaik-sebaik kehidupan di dunia ini dan di akhirat kelak.

" Bahawa sesungguhnya bulan Rejab itu adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa. Bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada Ramadhan itu adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa."

Rasulullah bersabda:

من قام الرمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه



Maksudnya: Barangsiapa yang mendirikan malam-malam Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadith muttafaqun 'alaih)

Salam Ramadhan Kareem. Moga kesempatan ini memberi kita seribu makna yang benar-benar bermanfaat. Amiin.

Monday, August 03, 2009

Anak tak sah taraf. Bagaimana definisi anda?

Sudah tentunya bukan saya yang selayaknya untuk membincangkan perkara ini secara lebih terperinci. Namun saya agak terkesan untuk turut sama menyelami isu ini dan menyatakan pendapat walaupun ia bukan dalam bidang saya. Maafkan saya jika terdapat kekhilafan dalam memperkatakan perkara ini.

InsyaAllah biiznillah. Bismillah. Sepanjang pengkajian saya terhadap masalah ini, ada saya ambil beberapa rujukan sebagai panduan. Adapun tulisan ini hanyalah sekadar perbahasan dari segi luarannya, tidak secara detail, menyeluruh mahupun penghuraian kepada topik.

Isu Anak Tak Sah Taraf mengikut hukum syarak. Penyelesaian sesuatu masalah sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama serta pembangunan insan dan pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.

Suka saya ingatkan, isu hamil di luar nikah dan anak tak sah taraf bukanlah isu baru dlm masyarakat, malah ia seperti sudah melazimi tindak sosial kehidupan masyarakat kini.


Kewujudan anak dalam keluarga merupakan sesuatu yang sangat bererti. Anak memiliki erti yang berbeza-beza bagi setiap orang. Anak merupakan penyambung keturunan, sebagai modal pada masa hadapan, dan anak merupakan harapan untuk menjadi sandaran kita di kala usia tua.


Anak adalah lambang penerus dan lambang keabadian. Anak mewarisi tanda-tanda kesamaan dengan orang tuanya, termasuk ciri khas, baik mahupun buruk, tinggi mahupun rendah. Anak adalah belahan jiwa dan secebis dari kedua ibu bapanya.

Begitu pentingnya kewujudan anak dalam kehidupan manusia, maka Allah s.w.t mensyariatkan adanya perkahwinan. Pensyariatan perkahwinan memiliki tujuan antara lain untuk berketurunan (memiliki anak) yang baik, memelihara nasab, menghindarkan diri dari penyakit dan menciptakan keluarga yang bahagia.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surat al-Rum ayat 21:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang-orang yang berfikir.


Oleh kerana itu agama Islam melarang perzinaan. Hukum Islam memberi gambaran yang berat terhadap perbuatan zina. Kerana zina dapat mengakibatkan ketidakjelasan keturunan. Sehingga ketika lahir anak sebagai akibat dari perbuatan zina, maka akan ada keraguan tentang siapa bapanya. Dengan adanya perkahwinan setiap anak yang lahir dari tempat tidur suami, mutlak menjadi anak dari suami itu, tanpa memerlukan pengakuannya darinya.

Hal ini diungkapkan dalam al-Qur’an surat al-Isra’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk”.

Hadith nabi, dari Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah s.a.w bersabda :

“Anak itu adalah untuk pemilik tilam dan bagi penzina hukum baginya adalah rejam”




Pergaulan bebas antara muda-mudi yang banyak terjadi sekarang ini, seringkali membawa kepada hal-hal yang negatif yang tidak diingini, seperti hubungan seks luar nikah dan hamil luar nikah. Hal ini disebabkan oleh adanya penyalahan budaya, sehingga pada saat ini ia seperti menjadi satu gaya dalam hidup iaitu bersamanya antara seorang lelaki dan wanita tanpa ikatan perkahwinan. Anak yang lahir di luar nikah ini pula akan mendapat gelaran dalam masyarakat sebagai anak haram. Hal ini memberikan gangguan psikologi kepada anak tersebut, walaupun secara hukum anak tersebut tidak berdosa akibat dari perbuatan orang tuanya Namun banyak persoalan yang akan muncul akibat hamil luar nikah ini, seperti hubungan nasab antara anak dengan bapak biologinya, dan lain sebagainya dari berbagai perspektif hukum.

Lalu apa hukum membinkan anak luar nikah dengan si pelaku?

Hukum asal anak luar nikah hendaklah dibinkan kepada ibunya. Ini berdasarkan kepada maksud sabda Rasulullah s.a.w:

"Anak (luar nikah) itu adalah hak ibunya dan bagi bapa (penzina) adalah batu sahaja. (rejam)"

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 28-29 Januari 1981 adalah seperti berikut:

"Anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ".


Sebagai contoh dalam permasalahan anak angkat juga tidak di binkan dengan bapa angkatnya tetapi dengan nama bapa kandungnya. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Barang siapa menisbahkan dirinya kepada selain ayah kandungnya padahal ia mengetahui bahwa itu bukanlah ayah kandungnya, maka diharamkan baginya syurga”.

Dalam hadis di atas dijelaskan bahawa, seseorang tidak boleh menasabkan dirinya kepada selain ayah kandunganya, apabila ia tahu siapa ayahnya.

Orang tidak boleh masuk syurga adalah orang yang berdosa. Jadi apabila seseorang menasabkan dirinya kepada selain ayah kandungnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukan ayahnya maka dia termasuk orang yang berdosa.

Istilah nasab secara bahasa diertikan dengan kerabat, keturunan atau menetapkan keturanan nasab adalah keturunan ahli waris atau keluarga yang berhak warisan kerana adanya pertalian darah atau keturunan.

Jadi jika tiada terdapat sebarang nasab di antara anak zina dan bapa zinanya itu, maka tidak berlaku sebarang tuntutan di antara keduannya dalam segala hal.

Ulama sepakat bahawa nasab seseorang kepada ibunya terjadi disebabkan kerana kehamilan, disebabkan kerana adanya hubungan seksual yang dilakukan dengan seorang lelaki, baik hubungan itu dilakukan berdasarkan akad nikah mahupun melalui perzinaan.


Bagaimana pula status anak luar nikah Menurut Hukum Islam?


Mengenai status anak luar nikah, para ulama sepakat bahawa anak itu tetap punya hubungan nasab dengan ibunya dan keluarga ibunya. Tanggung jawab atas segala keperluannya, baik material mahupun spiritual adalah ibunya dan keluarga ibunya. Demikian pulanya dengan hak waris-mewaris.

Adapun status anak luar nikah disamakan statusnya dengan anak zina. Oleh itu maka mempunyai akibat hukum seperti berikut:

(a) tidak ada hubungan nasab dengan bapaknya. Anak itu hanya mempunyai hubungan nasab dengan ibunya. Bapanya tidak wajib memberikan nafkah kepada anak itu, namun secara biologi ia tetap anaknya. Jadi hubungan yang timbul hanyalah secara manusiawi, bukan secara hukum.

(b) tidak ada saling mewaris dengan bapanya, kerana hubungan nasab merupakan salah satu penyebab waris-mewaris.

(c) bapa tidak boleh menjadi wali bagi anak diluar nikah. Apabila anak luar nikah itu kebetulan seorang perempuan dan sudah dewasa lalu dia hendak bernikah, maka ia tidak berhak dinikahkan oleh bapa biologinya.


Setakat ini dulu yang dapat saya bincangkan. Waallahu ‘alam. Semoga perkongsian secebis ini menjadi manfaat buat kalian.



sumber:
http://www.uinsuska.info