Friday, July 24, 2009

Sebak

Sebak membacanya setelah turun sahaja dari pentas yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim. Ucapan ini adalah lahir dari ayahanda rektor KUIS; Dato' Haji Mohd. Adanan bin Isman. Hampir menitiskan air mata, kata-kata ucapan ini sungguh menyentuh perasaan dan benar-benar masuk ke dalam hati. Bagi pendapat saya kata ucapan ini sungguh bermakna dan ia merupakan kata penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua graduan yang telah berpenat-lelah belajar bersungguh-sungguh selama ini hanya untuk sehelai kertas pengiktirafan. Semoga segala ilmu yang kita gali di sini diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. InsyaAllah. Syabas saya ucapkan.

*****

GRADUAN


Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

"Hari ini Sabtu 18 Julai 2009 bersamaan 25 Rejab 1430H dengan izin dan inayah Allah S.W.T anda dianugerahkan ijazah/Diploma sebagai penyuluh kegelapan, berupaya untuk memilih yang fitrah, dan menolak kebatilan berpandukan wahyu.


Kenangilah dalam doamu kepada insan yang memungkinkan anda ke tahap ini biar serendah mana ia di sisimu. Saya amat bersyukur dan bangga dapat membimbing anda menjadi ilmuan berpersonaliti unggul lagi mulia dan minda kelas pertama. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.


Saya mohon keredhaan Allah atas pertemuan singkat penuh erti ini, hayatilah moto KUIS sebagai 'Pemangkin Tradisi Ilmu' untuk menjadi penyubur semangat kembara ilmu yang melaut tak bertepi, masa yang panjang penuh liku. Laluilah kembara ini dengan sabar, dedikasi dan jati diri yang kental, tidak akan lekang dek panas dan tidak akan lapuk dek hujan, dicampak ke laut menjadi pulau, di darat subur menjadi tanaman, bermanfaat kepada semua.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai talian pertolongan luhur mencapai cita-cita. Setinggi 'TAHNIAH' saya kalungkan dan kepada Allah diserahkan segala usaha dan impian. Amin."

*****

Wednesday, July 22, 2009

LAGU RASMI KUIS


- klik untuk imej lebih jelas -


Ini merupakan lagu rasmi bagi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Lagu ini telah diilham cipta sendiri oleh ayahanda Dato' Haji Mohd Adanan bin Isman -Rektor KUIS. Lagu ini telah selamat dilancarkan dengan rasmi sempena Ekstival Konvo kali ke-12 pada 16 Julai 2009. Ekstival ini telah berlangsung selama 3 hari bagi meraikan para graduan KUIS yang tarikhnya jatuh pada 18 Julai 2009, di mana ia merupakan hari paling bahagia buat mahasiswa-mahasiswi KUIS yang telah selamat menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing -termasuk saya. =)

Alhamdulillah syukur yang tertinggi kepada Allah s.w.t kerana memberikan kesempatan yang seketika ini buat saya dan sahabat-sahabat untuk merasainya. Yang bangganya kerana saya merupakan batch yang pertama yang menyanyikan lagu ini selepas ia dilancarkan.

Terima kasih buat KUIS dan seluruh warganya.


Monday, July 20, 2009

Israk dan Mikraj –satu penghijrahan.


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.“

(surah al-Isra' ayat 1)

Mengingati peristiwa paling penting dalam sejarah umat Islam –Israk wal Mikraj banyak memberikan inspirasi paling berguna kepada umat Muhammad s.a.w. Israknya Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin membawa seribu satu perasaan yang tidak terbendungkan oleh baginda Rasulullah. Kemudian di-Mikrajkan pula merentasi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua ini berlaku atas izin Allah s.w.t dalam satu malam sahaja.

Baginda ketika itu tidak punya siapa-siapa di sisinya sebagai penguat semangat setelah kewafatan isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Keseorangan melalui saat-saat getir, kesusahan dan cercaan dalam dakwah terhadap bangsanya sendiri –kaum Musyrikin Jahiliyyah yang tetap tegar dengan fahaman nenek moyang mereka. Ternyata semua kejadian itu tidak sia-sia apabila belas dan kasih sayang Allah datang menjemput baginda dengan anugerah penuh agung iaitu wahyu yang diturunkan terus kepada baginda.

Salah satunya yang menjadi polemik dalam wahyu ini adalah ibadah solat yang disyariatkan merupakan titik tolak permulaan kehidupan seseorang manusia. Memandang ringan ibadah solat ini ibarat mengundang murka dari Allah s.w.t. Kerana di situlah (Solat) segala jiwa yang kosong keresahan, kebuntuan, masalah berat yang tidak tertanggungkan, kekecewaan yang tidak terbendungkan dan kemarahan terhadap manusia semuanya dihamburkan dan dilepaskan di hadapan Allah Ta’ala dalam tiap sujud penuh pengharapan, mengadu dengan penuh sendu, kerana kepada Allah-lah tempat sebaik-baik pengembalian. Sesungguhnya Allah benar yang Maha Mengetahui, yang memegang hati-hati kami dan yang menguasai segala-galanya.

Lalu kita ini sebagai umat akhir zaman tidak layak untuk memandang enteng perkara-perkara sebegini. Umat yang Allah jadikan kehidupannya penuh berpengetahuan, berilmu dan mampu mencipta pelbagai teknologi canggih sepatutnya lebih hampir untuk mengenal Allah dengan penerokaan alam kosmos dan astronomi sekaligus mempercayai perkara-perkara ghaib, tanggungjawab sebagai muslim sejati yang mukmin dan bertaqwa selain mengenang al-Aqsa yang dirampas Yahudi laknatullah.

Wajarnya 27 Rejab ini menjadi mainan kita difikiran, dan bukannya perkara-perkara lagha (yang melalaikan) yang menjadi tajuk utama kita dalam kehidupan. Wallahu Ta’ala a’lam, semoga Allah menerima segala amalan baik dari kita semua.


nur el-huda, 20 Julai 09 (27 Rejab 1430H)
D-G-4

Sunday, July 05, 2009

JODOH

Bismillahi wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasoro wa walah.

Entry kali ini bagi memenuhi persoalan seorang sahabat saya yang masih keliru tentang soal jodoh, pasangan hidup dan jaminan masa depan. Apepun harapannya agar dia memperoleh manfaat darinya yang saya agak, saya sudah mengulangi perkara ini banyak kali, kepada adik-adik saya, sahabat-sahabat fillah even di dalam banyak blog sekalipun. Secara ringkasnya dapat saya nukilkan begini;



Bilamana kita perkatakan soal jodoh, kahwin... memang merupakan satu ibadah. Sehingga di dalam kitab Feqah telah mengkhususkan satu bab yang membincangkan perkara ini iaitu bab Munakahat. Maka keseluruhan bab ini bermula dari bab mencari jodoh; iaitu si lelaki mencari dan perempuan pun mencari, walaupun hakikat sebenarnya kuasa yang mencari itu lelaki tetapi kuasa yg menentukan itu terletak pada perempuan. Lelaki hanya mencari sahaja, kalau perempuan kata tidak, maka tidaklah. Stop.

Soal jodoh ini bila kita bicarakan, ia berkaitan dengan perkara yang sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa kerana manusia itu satu makhluk yang hidup dan matinya di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari persoalan perkahwinan ataupun penceraian.

Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Ayat ni semacam sudah biasa bermain dibibir masyarakat kita. Memang benar semua itu atas kehendak Allah yang tentukan, tetapi di antara keduanya itu terdapat sedikit perbezaan. Dari segi perlaksanaan untuk menentukan jodoh kita kena ikhtiar mencari, tetapi untuk menentukan maut kita kena ikhtiar untuk menjauhi. Itu dua perkara yg berbeza.

Kita tidak menafikan jodoh memang di tangan tuhan, tetapi apabila lahir sahaja seorang manusia contohnya bayi perempuan; jodohnya sudah ada, tapi kita tidak tahu siapa dia (melayu ke...mat saleh ke…cina ke…) dan di mana dia. Tapi kalau lahir seorang anak lelaki kita tidak tahu siapa jodoh dia lagi, kerana kebiasaannya lelaki lebih tua daripada perempuan. Maka akhir apabila bertemu jodoh di antara mereka, maka ia dinamakan ketentuan Allah s.w.t

Manusia yang berfikir adalah manusia yang menggunakan akalnya daripada anugerah Allah dengan sebaiknya utk menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Dalam soal jodoh ini, kita boleh memilih dan berikhtiar. Kalaulah tiada ikhtiar memilih maka tidak akan timbullah hadith nabi rasulullah s.a.w:

“Dinikahi perempuan itu kerana 4 perkara: Pertama, kerana hartanya. Kedua, kerana keturunannya. Ketiga, kerana kecantikannya. Keempat, kerana agamanya. Maka yang lebih utama adalah perempuan yang beragama, pasti engkau akan beruntung.”

Masalah di mana kita berjumpa, samada dalam negeri atau luar negeri, di tempat kerja atau di universiti atau di mana sahaja itu terserah kepada Allah s.w.t, tapi dalam hati kita ini mesti ada hasrat hendak mencari jodoh yang sesuai dengan saranan rasulullah s.a.w tadi. Tapi yang kita bimbangi adalah aspek-aspek itu yang kita selalu abaikan. Bila berjumpa sahaja, berkasih, bercinta dan bla..bla..bla...oh timbulnya kasih sayang, tidak boleh berpisah... lautan api pun sanggup aku renangi dan pelbagai lagi istilah-istilah yang hebat-hebat, tetapi apabila berkahwin 2-3 bulan, timbul masalah, yang dulu asalnya bertemu, berkahwin begitu meriah, tapi akhirnya bercerai.

Nak salahkan siapa sekarang? Jangan pernah nak salahkan takdir sebab perkara sebegini tidak akan berlaku jika tidak ia sendiri berpunca daripada kita.

Jodoh ini sukar untuk ditafsirkan, sebab ada bermacam-macam ragam dan gaya tersendiri.

Sebab itu kata rasulullah s.a.w: Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (riwayat Muslim)

Maksudnya, Nabi menggalakkan umatnya supaya mengutamakan memilih bakal isteri atas dasar agamanya, kerana dengan agama seseorang itu akan selamat dan bahagia kehidupannya di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sebab itu tujuan Islam menekankan memilih calon isteri yang beragama kerana jika seorang lelaki yang memilih bakal isteri yang solehah dan baik akan mendapat jaminan kebahagiaan yang hakiki di dalam rumahtangganya. Nabi bersabda lagi yang maksudnya:

“Sesungguhnya dunia ini adalah suatu tempat keseronokan dan sebaik-baik keseronokan itu ialah wanita yang solehah”

-(riwayat Muslim dan Nasa’i)

Begitu juga dengan kecantikan semata-mata boleh membawa kepada kemusnahan rumahtangga. Lagi pun kecantikan itu tidak akan berkekalan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama dalah lebih baik”


-(riwayat Ibnu Majah)

Jadi pilihan di tangan anda. Maka pilihlah yang terbaik buat diri anda sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Wallahu ta'ala 'alam. Sekian. Wassalam.



nur el-huda, Sunday, 5 July 09,
2.33am, D-G-4


Sunday, June 21, 2009

Suatu kehilangan (II)



Menyedari akan apa yang merunsingkan diri saya sejak kebelakangan ini, akhirnya saya menemuinya setelah beberapa lama termenung dan berfikir, berfikir dan berfikir. Ya, itulah penawar bagi hatiku ini iaitu ALLAH, Allahu Jalaalah. Cinta dan Kekasih yang saya lihat semakin menjauh. Bukan menafikan tanggungjawab saya kepadaNya, malah jauh sekali untuk mengkhianatiNya. Sembahyang yang 5 dan puasa Isnin dan Khamis itu alhamdulilah masih lagi saya amalkan, cuma saya merasakan seperti sesuatu kehilangan. Kehilangan yang entah saya sendiri tidak tahu. Buntu. Betapa kini saya sibuk bekerja dari pagi hingga ke petang dan malamnya hanya rehat. Komitmen hidup kini memaksa saya untuk lebih menghargai masa.

Ya inilah yang saya cari selama ini. Dalil yang betul-betul tepat untuk diriku. Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan demikian itu sahaja aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (al-An’am 162-163)

Mungkin saya sudah terlalu memberi muka kepada dunia. Tuntutan dunia ini jika dilayan, ia tidak akan habis. Sifatnya sentiasa mendambakan sesuatu yang tidak akan dapat dipuaskan. Penat dengan semua ini, barulah saya sedar, rupanya saya seakan sudah jauh dari Allah. Mulai lalai dengan tipuan dan godaan dunia.

Betapa dulu saya sangat rindukan Dia, mencintai Dia dengan setulus hati dan berasa bahagia kerana semuanya di dalam jagaan Dia. Saya rindukan saat-saat dan perasaan seperti itu. Ya Allah, jangan tinggalkan aku ya. Fikir lagi, mungkin ilmu-ilmu, sembahyang, zikir, mengaji al-Quran, solat-solat sunat dan puasa saya selama ini masih tidak mencukupi. Perlu digandakan lagi. Ya Allah, bantu aku dan luruskanlah hatiku ini.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

riwayat at-Tarmizi dan ad-Darimi

Ya, memang seluruh kehidupan manusia ini hanya layak untuk Allah, tiada sesuatu pun yang tidak memerlukan kewujudan Allah dalam setiap perkara yang akhirnya semua akan kembali kepadaNya.



Jika kita menganggap bahawa wang, harta, anak, suami atau isteri, rumah mewah, kesihatan, kecantikan, kedudukan, pangkat sebagai satu noktah berjayanya dalam mencapai kebahagiaan hidup, barangkali kita telah silap besar. Bahkan semua itu tadi merupakan fitnah yang paling besar dalam kehidupan seorang manusia sebagai khalifah Allah. Materi bukan sebab utama menjanjikan kebahagiaan hidup dalam diri seseorang. Lihat sahaja berapa ramai manusia kaya yang mati dengan membunuh diri. Puncanya apa? Kerana kosongnya jiwa mereka dari mengenal dan mengingati Allah. Roh jiwa yang dibiarkan kelaparan dari diberi santapan rohani sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Sebab itu ia meronta-ronta mencari Allah sebagai penawarnya. Kerana dari Allah itu juga roh itu ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh kerana itu, berpegang teguhlah dengan tali Allah.

Saya akan sentiasa mengingatkan diri saya kini dan pada masa hadapan tentang hal ini. InsyaAllah. Semoga saya tidak lalai dan tertipu dengan segala macam habuan dunia. Juga untuk sahabat-sahabat, diri kita ini adalah mutlak milik Allah, penuhinya rohani dan jasmani dengan sebaik-baik amalan. 3 bulan untuk penyucian diri sudah hampir tiba. Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Tak sabar rasanya untuk menguji dan mencabar diri ini. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan petunjuk buat kita semua untuk mencapai kebahagiaan, kegembiraan dan keredhaan di dunia dan di akhirat.



nur el-huda, Saturday, 17 Mei 09,
16.57pm, D-G-4

Tuesday, June 09, 2009

Penatnya lain... suatu kehilangan (I)

Menjalani hari-hari bekerja memang meletihkan. Baru sekarang saya dapat rasakan, setelah hampir 7 bulan bergelar pekerja. Jauh beza keadaannya jika hendak dibandingkan dengan saya dahulu semasa belajar. Penatnya lain.




Kalau dulu semasa belajar hanya penat badan ke kelas, menghadiri seminar-seminar atau perjumpaan dan letih otak berfikir tentang study, sesekali ada juga masa berjumpa kawan-kawan lama, bermain-main, lepak-lepak dan ada juga masa senggang untuk menyelit-nyelit. Tetapi kini, melakukan semua perkara itu bagaikan tiada langsung. Saya cuba juga untuk meluangkan mana yang termampu, tetapi masa seperti sangat singkat. Tidak sempat untuk berbuat apa-apa, sekejap sahaja sudah akhir bulan, sudah masuk bulan ini, dan ini. Sekejap sahaja sudah malam, dan hari saya habiskan hanya duduk di meja bekerja. Malam hanyalah untuk rehat dan tidur, bersedia pula mental dan fizikal untuk pagi esoknya. Kadang-kadang saya terpaksa ‘curi-curi waktu’ menggunakan masa rehat diri sendiri untuk memenuhi perkara lain. Dan saya bersiap sedialah untuk ngantuk dan tidak bermaya di tempat kerja esoknya.


Adakala masanya saya outstation kerja ke tempat lain, atau mendapat tugas luar dalam 2-3 hari, fuhh, mengenangkan betapa penatnya dalam satu hari itu telah membuatkan saya terlalu letih sehinggakan tidak boleh tidur pada malam tersebut. Betapa saya fikirkan, mungkin inilah perasaan dan keadaan ibubapa saya dan orang yang bekerja. Ini belum memikirkan tentang komitmen lain seperti bayar bil telefon, sewa rumah, kereta, dan keperluan lainnya. Saya dapat rasakan beratnya menggalas tanggungjawab ini. Semoga Allah memudahkan segala urusan saya pada masa hadapan.


Yang benarnya saya ingin katakan ini setelah puas memuhasabah diri memikirkan perkara yang berpusing-pusing berserabut di kepala saya. Melihat kembali diri saya dahulu dengan sekarang. Apakah yang saya cari sebenarnya di kehidupan ini? Kemewahan? Keseronokan? Duit? Kebebasan? Nyata diri dan hati perasaan saya tidak senang dengan semua yang saya nyatakan tadi. Sepertinya ada sesuatu yang hilang. Terasa dan terkesan sangat dalam tindak kehidupan saya kini. Pasangan hidup? Tidak.... jauh sekali. Maka,


Pimpin aku Ya Allah menjalani hidup ini



Monday, June 01, 2009

berkenaan Hadith


Bismillah. Alhamdulillah syukur segala pujian hanya layak pada Allah, yang masih memberikan nikmat kehidupan ini kepadaku, semoga Engkau Ya Allah mengekalkan dan menambahkan rasa kecintaanku padaMu. Amiin.


Di bawah ini merupakan jawapan saya kepada soalan seorang sahabat saya kira-kira 3 tahun lepas. Sengaja saya postingkan di sini agar ia boleh menjadi manfaat lagi berguna kepada kalian semua. Mungkin sebahagian daripada kalian telah sedia-tahu tentang ini dan mungkin ada yang belum mengetahuinya. Saya fikir ia mungkin telah menjadi suatu nota ringkas. Soalan itu ialah; 1) Boleh tak hadith Ahad dan hadith mutawatir menjadi hadith sahih?


  1. Hadith Ahad boleh menjadi sahih tapi mesti memenuhi syarat sah periwayatan.
  2. Hadith mutawatir juga boleh menjadi hadith sahih jika memenuhi syarat2 sah hadith sahih.

Syarat Mutawatir ialah:

- seseorg bertemu dan dengar dari guru dengan telinganya sendiri

- diriwayatkn oleh ramai

- seimbang jumlah perawi antara tabaqat iaitu (sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in)


Hadith Ahad :

  • hadith yang tidak mencapai jumlah perawi seperti perawi hadith mutawatir
  • tidak seimbang jumlah perawi antara tabaqat.
  • Ahad : i. Masyhur (3)

ii. Aziz (2)

iii. Gharib (1)


Syarat sahih :

- perawi yang meriwayatkan itu adil

- perawi itu punya sifat dhabit (tepat dlm meriwayat)

- sanadnya sampai kpd Rasulullah

- tak punya kecacatan yang diketahui

- tak janggal dari segi sanad dan matan


1. Hadith dhaif boleh jadi hasan, itu pun hadith hasan lighairih shj. Sekiranya ia mempunyai

pembantu atau kecacatan yang tak keterlaluan.

- Contoh hadith dhaif yg diangkat darjat ke hadith hasan :

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi :

“adalah menjadi hak (tgjwb) bg org2 Islam utk mandi pd hari Jumaat dan hendaklah salah seorg drp keluarga mrk menyapu wangi2an. Jika tak ada, maka air pun cukup utk dibuat wangian.”


- hadith ini dh dinaiktaraf disbbkan ada pengikut atau sanad lain yg mengikut hadith tersebut iaitu yg dikeluarkn oleh al-tirmizi tp dari jalan Ahmad bin Mani’ drp Hisyam drp Yazid bin Abi Ziyad dari Abd Rahman bin Abi Laila dan drp al-Barra’ bin Azib.

- Dhaif boleh naik taraf w/pun lemah tp tak boleh naik jika lemah + cacat + mungkar + fasik + dusta

- Hadith dhaif lighairih adalah : lemah + cacat + mungkar + fasik + dusta

- Pendek kata : hadith dhaif boleh jd hasan (hasan lighairih) krn ada ciri2 hadith hasan lighairih.


Ciri2 hadith hasan lighairih :

- perawi bersifat dhabit

- tak fasik

- ada pengikut

- ada saksi yg kuatkan hadith tersebut


- Dhaif lazatih ialah : - hadith yg tak miliki satu atau lebih syarat hadith sahih atau hasan

- miliki syarat yg hmpir sama dengan sahih atau hasan dan ada kkurangan dlm

syarat perawinya (syarat perawi tu samada dia tak adil, hafalannya tak bagus

dan tak tepat riwayatnya)


2. Hadith hasan boleh jd sahih jika mempunyai pembantu atau penyokongnya.

- Contoh : yg bermaksud : “Rasulullah s.a.w memiliki seekor kuda yg ditambatkan di kandang kami

dan diberi nama Luhaif.”

- hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari dari Ubai bin al-Abbas bin Sahl drp bapanya Abbas bin sahl drp bapanya iaitu Sahl. Disbbkan Ubai seorg yg kurang dari segi ketepatan riwayatnya (dhabit) iaitu tak begitu kuat hafalannya. Tp menjadi sahih (sahih lighairih) disbbkan ada riwayat lain yg meriwayatkan hal yg sama dgn riwayat Abd Muhaimin yg kuat dhabitnya.

- Hasan lazatih ialah yg mmnuhi semua yg boleh menyebabkan hadith ini diterima, tp agak susah sikit sbb ade pelbagai peringkat, sdgkan yg tertinggi adalah hadith sahih.

3. Sahih lazatih ialah yg melengkapi syarat sahih.


Beza hadith qudsi, marfu’, mauquf dan maqtu’

Hadith Qudsi ialah :

- lafaz yg disampaikan oleh Nabi s.a.w menggunkan bahasa dan susunannya sendiri tetapi

makna atau maksud drp Allah S.W.T

- apa2 khabar atau berita yg disebut oleh Nabi s.a.w bersandarkn kpd Allah shj melalui ilham yg

tersembunyi

- merupakan ilham atau jg wahyu tnpa perantara kpd Nabi s.a.w

- byk bicarakan tntang hal2 ketuhanan, kesucian-Nya, sifat2 Allah dgn makhluk-Nya dan kkuasaan-Nya.


Hadith marfu’ ialah :

- hadith yg disandarkn kpd Rasulullah samada kata2, perbuatan, pengakuan atau sifat2nya atau pn

samada sanadnya bersambung terus pd nabi atau sebaliknya samada yg menyandarkan itu seorg

sahabat atau seorg tabi’in.

- hukumnya : boleh dijadikan hujah sekiranya disepakati dan smpai pd mrtabat sahih dan hasan


Hadith mauquf :

- hadith yg dsandarkn pd sahabat, samada dlm bntuk kata2 atau perbuatan atau pengakuan dan samada

sanadnya muttasil atau tak.

- hukumnya : boleh beramal dan di jdkn hujah hujah sekiranya disepakati dan smpai pd mrtabat sahih

dan hasan krn para sahabat tak mungkin mndustakan Nabi dan mrk adalah adil.


Hdith maqtu’ :

- hadith yg terpotong, lwnnya mausul

- segala apa yg disandarkn kpd tabi’in dan tabi’ tabi’in samada dlm bntuk perkataan, pekerjaan, perbuatan etc.

- Juga hadith yg dsandarkn pd tabi’in samada dr segi kata2 atau perbuatan atau pengakuan samada ia muttasil atau munqati’

- Hukumnya : tak boleh dibuat hujah w/pun sanadnya bersmbung sbb tabi’in tak satu zmn ngan Rasulullah s.a.w.


Wallahu ‘alam. Wassalamu bilkhair ajma’in


Sunday, May 24, 2009

Lament


I have been faithful
To you, my language,
Language of my dreams,
My sex, my laughter, my curses.
How often have I
Stumbled, catching you
Short when you should be
Free, snagging on curves,
Till fools have called me
Fool. How often have you
Betrayed me, faithless!
Disowned me –a woman
You could never marry,
Whom you have tired
Of long ago.

I have faithful
Only to you,
My language. I choose you
Before country,
Before what eyes see
Mouth, full-hearted, taste.
I choose you before
Lover and husband,
Yes, if need be,
Before child in arms,
Before history and all
It makes, belonging,
Rest in the soil,
Although everyone knows
You are not mine.
They wink knowingly
At my stupidity-
I, stranger, foreigner,
Claiming rights to
What I have no right-
Sacrifice, tongue
Broken by fear.


By; Shirley Lim



“I have no idea why I wrote this poem, it’s something I can feel, but I can’t reach the heart”
20.31, 23 Mei 09
D-G-4

Monday, May 11, 2009

Balairong seri Seorang Primadona

gambar hiasan

Sejak dulu lagi primadona sudah syak, kata-kata hatinya tidak salah. Tekaannya semakin lama semakin benar. Tukang karut di istana Sri Menanti atau lebih dikenali sabagai mak karut topeng berbunga memang pandai menjual cerita. Berdolak-dalih, sekejap-sekejap dia berkata begitu, sekejap-sekejap dia kata begini. Memang kalau sesetengah rakyat jelata yang buta lagi dungu tidak akan dapat mengesan topeng apakah yang sedang dipakai oleh mak karut topeng berbunga. “Manis benar mulut dia.” Bungkam primadona menahan geram. Bukan dia tidak tahu niat dan tujuan sebenar mak karut topeng berbunga, pandai sungguh dia memancing hati putera raja dengan topeng-topengnya. Kadang-kadang cerita yang mak karut topeng berbunga persembahkan kebanyakannya telah diketahui umum oleh rakyat jelata. Mak karut lebihnya ingin dikenali sebagai orang yang tahu segala-segalanya tentang sesuatu dari orang lain. Bagi primadona, perkara yang dilakukan oleh mak karut topeng berbunga telah lebih awal beberapa tahun dihadam oleh primadona. Primadona tahu, mak karut topeng berbungalah yang memotong rezekinya untuk mempersembahkan tarian dan nyanyian kepada putera raja iaitu Putera 16. Mak karut topeng berbunga sebenarnya dalam diam mendahului memenangi hati putera 16. Apa motif pada awalnya pun primadona tidak tahu. Tapi sejak beberapa purnama ini, primadona dapat agak, mak karut topeng berbunga ada hati dengan putera 16. Kerana jika diperhalusi, ada saja kadang-kala di dalam cerita-ceritanya mak karut topeng berbunga selit-selitkan tentang diri putera 16, tentang kebaikan dan kebagusan diri mak karut topeng berbunga juga sendiri ada dipersembahkan. Naik meluat primadona dibuatnya.


Dulu, putera 16 rasa terhibur dengan kehadiran primadona di dalam singgahsana hidupnya. Bukan setakat tarian dan bait puisi primadona yang berkait dengan dirinya, bahkan putera 16 tidak segan silu menceritakan kisah hidup dan rancangan hidupnya pada masa hadapan dengan primadona. Ibarat memadu cinta Qays dan Layla. Sesekali bebunga mekar tumbuh indah mewangi di dalam hatinya. Dia rasa dihargai. Perasaan itu berlalu dalam beberapa waktu, sehinggalah mak karut topeng berbunga hadir. Primadona memang hormat pada mak karut topeng berbunga sebelum ini kerana primadona fikir tempat mak karut topeng berbunga memang sesuai dengan bakat yang dimilikinya. Tempat mak karut topeng berbunga adalah di pentas hibur rakyat jelata saat mereka inginkan sesuatu untuk menghilangkan lelah setelah seharian penat bekerja. Tradisi begitu memang telah menjadi adat sejak dahulu lagi di negeri Kepulauan Jauh. Entah apa yang mendorong mak karut topeng berbunga untuk datang masuk ke istana Sri Menanti ini dan mengganggu ketenteraman hati putera 16 dan primadona. Mak karut topeng berbunga tidak patut mengambil tempatnya di lantai balairong seri putera raja. Sehinggakan mak karut topeng berbunga ingin benar digelar dan menjadi sebagai sebahagian dari warga istana.


gambar hiasan

Kini, tarian, nyanyian dan bait puisi primadona dendangkan sendiri dalam kamar hatinya. Lagu, tarian dan puisi yang dulunya berbau cinta yang harum, ketenangan dan bait memuja kekasih, semakin lama semakin memudar. Tiada lagi warna-warna indah yang melakari dinding hatinya. Bait puisinya bertukar kepada kesedihan hati, kelabu dan sepi. Sehinggakan tariannya terasa canggung dan seiring dengan linangan air mata. Baginya, putera 16 telah membenci dan melupakannya. Mandrem mak karut topeng berbunga memang menjadi. Kuat benar dia memasung hati dan pemikiran putera 16.


Terlintas juga kadang-kadang untuk primadona keluar saja dari istana Sri Menanti, tidak sanggup lagi dia melihat mak karut topeng berbunga beramah mesra dengan putera 16. Hatinya sakit. Tetapi sehingga hari ini juga dia tidak mempu berbuat demikian. Wajah dan kata budi putera 16 masih terngiang-ngiang dan terbayang-bayang lagi di matanya. Susah benar. Benarlah kata orang-orang tua yang mengenali diri putera raja sebelum ini bahawa baginda memang mempunyai tarikan yang tersendiri dan berdaulat.

gambar hiasan

Hanya kepada tuhan yang menciptakan alam dan sekalian manusia ini primadona tidak putus berdoa agar dipertemukan jodoh dengan putera 16. Dia tahu cintanya suci, ikhlas dan ia memang lahir dari nubari yang luhur. Tidak seperti mak karut topeng berbunga yang pandai berkata-kata semata-mata mengaburi mata putera 16, rakyat dan bangga mendapat nama dengan menumpang kemasyuran baginda.


nur el-huda, 22.14pm, isnin, 27 april 2009
D-G-4


--------------------------------

Akukah Primadona Itu?


Akukah primadona itu?
Yang di lantai berkapuk itu
sibuk menyanyikan lagu mersik
dengan gemalai tarian gamelan
saat bintang dan rembulan
bersilih dengan mentari
siang dan malam.

Akukah primadona itu?
yang di pentas seri itu
bersimpuh ayu
memuja asyik bayu semalam
saat langit dan bumi
bercengkerama dengan wisata
pagi dan petang.

Biarkan aku di sini
membina istana sendiri
mengalunkan bait syairku sendiri
dalam lirik sebuah ilham
yang aku damba
selama penantian umur bersabar
sandar pada kerusi harapan.

Biarkan mendung sedih itu Tuhan
bercempera ke daerah lain
menelan gelembung-gelembung awan
seputar meresahkan di taman hati
seorang primadona.



Hak Cipta Terpelihara;
nur el-huda, 3 Feb 09, 20.17pm
D-G-4


p/s: Kesinambungan dari puisi "Akukah Primadona Itu?" adalah sebuah lagi puisi bertajuk "Selamat Tinggal Putera". Boleh didapati di www.mindthoughtful.blogspot.com
p/s:
dapatkan lagi koleksi puisi dan sajak nur el-huda di www.mindthoughtful.blogspot.com

Thursday, April 23, 2009

Taaruf Imam Malik: satu nota ringkas


  • Pengasas Mazhab Maliki.
  • Mazhab kedua dari senarai empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.
  • Lahir di Madinah, di desa Zulmarwah iaitu utara Kota Hijrah.
  • Hidup pada zaman khalifah al-Walid bin Abdul Malik, khalifah ke 6 Dinasti Kerajaan Bani Umayyah.
  • Lahir pada tahun 93 hijrah, 13 tahun lebih muda dari Imam Abu Hanifah iaitu pada tahun 80 hijrah.*
  • Dari generasi tabi’ tabien.*
  • Guru kepada Imam asy-Syafie (pengasas mazhab Syafie)
  • Imam Malik tidak pernah keluar dari kota Madinah kecuali ketika untuk mengerjakan ibadat haji.*
  • Ketika zaman remajanya 17 tahun, hanya tinggal seorang sahaja sahabat nabi iaitu Amir bin Wasilah al-Lathi al-Kina’i di Kufah. Beliau terkenal dengan gelaran Abu Tufail.
  • Imam Malik bukanlah berasal dari penduduk Madinah yang asli kerana asal keturunan datuk neneknya adalah dari orang Yaman dari Kampung al-Asbahi iaitu kota Himyar yang datang berdagang dan bermastautin di Madinah untuk mencari kehidpan yang lebih selesa.
  • Datuk neneknya datang berhijrah ke Madinah semasa Rasulullah sudah pun berhijrah ke Madinah.
  • Kota Madinah pula tempat tinggal Abu Bakar, Umar dan Uthman iaitu sarang hadith dan medan fatwa.

***

  • Nama sebenar beliau; Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amir (Anas) bin Amru bin Ghaiman bin Huthail bin Amru bin al-Harith bin Saad bin Auf bin Adi bin Malik bin Yazid.
  • Digelar Abu Abdullah.*
  • Ibunya bernama Aisyah binti Syarik al-Azdiyyah, berasal dari Yaman. Ada pendapat lain meriwayatkan bahawa nama ibunya ialah Siti Aliyyah binti Syuraik bin Abdul Rahman bin Syuraik al-Azadiyyah, seorang perempuan solehah.
  • Mempunyai 2 orang saudara lelaki bernama Nafi’ dan Abu Sahel.
  • Hidup dalam lingkungan ilmu dan orang-orang berilmu dan ulama iaitu datuk dan bapa-bapa saudaranya. Kecuali ayahnya yang agak sepi dari medan ilmu.
  • Bapanya seorang tukang membuat panah.

***

  • Imam Malik seorang manusia yang punya rupa paras yang elok, kacak rupawan, bermata biru dan mempunyai sorotan mata yang tajam.
  • Berbadan besar, tinggi, segak dan gagah.
  • Suka menolong orang yang dalam kesusahan (murid-muridnya, sahabat-sahabatnya dan hal masyarakat)
  • Mesra terhadap semua peringkat golongan masyarakat sehinggalah kepada para pembesar negeri dan khalifah-khalifah.
  • Suka berziarah, lemah lembut tanpa mengira kenalan beliau atau tidak dan sekalipun terhadap orang bukan Islam.
  • Lebih suka berdiam diri dari banyak bercakap kecuali atas perkara yang baik-baik berupa pengajaran dan nasihat.
  • Imam Malik dapat dilihat bercakap panjang lebar apabila ditanya tentang hukum-hakam atau persoalan hadith.
  • Tidak terlalu banyak mengerjakan solat sunat malam, amat soleh, banyak membaca quran, berzikir dan berwirid, warak dan zuhud kepada dunia.
  • Paling membenci amalan bid’ah, tidak suka bertaklid, berpolitik dan sebarang pemberontakan.
  • Sukakan pakaian mahal dan cantik. Dengan kata lain pakaian yang kemas dan berjenama yang bermutu dari jenis Adaniyyah (keluaran negeri Aden), Khurasaniyyah (keluaran negeri Khurasan) dan Misriyyah (keluaran negeri Mesir)
  • Juga sukakan wangi-wangian dan benci pada pakaian kotor dan berbau busuk.
  • Makanan kegemaran beliau adalah daging dan dari jenis buah-buahan ialah pisang.
  • Tidak mempunyai rumah sendiri sehinggalah akhir hayatnya. Beliau hanya menyewa rumah peninggalan Abdullah Ibnu Mas’ud (seorang sahabat nabi s.a.w dan ulama yang terkemuka ilmunya)*
  • Mempunyai akal fikiran yang luar biasa dan otak yang genius, kerana dapat menghafal 40 hadith sekaligus dalam beberapa minit sahaja. Kemudian beliau mentahriri-kan ke dalam buku khas untuk mendewankan hadith.
  • Telah membuka majlis ilmunya sendiri seawal usia 17 tahun.
  • Dikurniakan Allah dengan keramat dan kasyaf sehingga mampu melihat sesuatu di balik hati manusia.*

***

  • Imam Malik amat menghormati Rasulullah s.a.w sehingga beliau tidak mahu menunggang kudanya di dalam Kota Madinah kerana hati dan jiwanya tidak tergamak melihat kaki kuda yang ditungganginya menginjak-nginjak tanah yang di dalamnya terkandung jasad mulia Rasulullah.
  • Amat menghormati dan memuliakan ilmu.*
  • Amat menghormati para tetamu.*
  • Amat menjaga maruah diri.*
  • Sangat cinta kepada Rasulullah s.a.w sehinggakan wajahnya berubah pucat apabila mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w kerana prihatinnya beliau terhadap penderitaan yang ditanggung Rasulullah selama dakwah menyebar agama Islam kepada manusia.
  • Amat meminati bidang ilmu hadith dan bersungguh-sungguh dalam menuntut serta mempelajarinya.

***



  • Guru-guru Imam Malik iaitu; Imam Rabiah bin Abi Abdul Rahman ar-Ra’yi, Imam Abdul Rahman bin Harmaz al-A’raj, Imam Qasim bin Muhammad, Imam Nafi’ maula Ibnu Umar, Imam Said Ibnu Musaiyyab, Ibnu Syihab az-Zuhri.*
  • Menjadi guru kepada gurunya sendiri seperti Ibnu Syihab az-Zuhri dan Yahya bin Said al-Ansari.
  • Sahabat-sahabat Imam Malik terdiri daripada ulama besar sezaman dengannya. Antaranya; Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ath-Thauri, Imam Sufyan bin Unaiyah, Imam Layth bin Saad, Imam al-Auza’i, dan ramai lagi.
  • Murid-muridnya yang ramai pula bukan sahaja terdiri daripada anak Kota Madinah, malah dari pelusuk kota dan negara seperti Mekah, Iraq, Farsi, Yaman, Mesir, Afrika dan Sepanyol.
  • Antara murid-muridnya adalah Imam Ibnu Wahbin, Imam Ibnu Qasim, Imam Abdullah bin Abdul Hakam, Imam Asbagh bin al-Faraj al-Amawi, Imam Muhammad bin Ibrahim bin Ziad al-Iskandari dan ramai lagi.
  • Ulama sezaman dengan Imam Malik seperti; Imam Abu Hanifah (Kufah, Baghdad), Imam al-Auza’i (Syam), Imam Layth bin Saad (Mesir), Imam Hammad bin Salamah dan Imam Said bin Abi Arubah (Basrah), Imam Ma’mar bin Rasyid dan Imam Abdul Razak bin Humman (Yaman), Imam Sufyan bin Unaiyah (Mekah), Imam Ibnul al-Majisyun (Madinah), dan lain-lain lagi.

***

  • Imam Malik meninggal dunia pada hari Ahad 10 atau 14 Rabiul Awal 179 hijrah di rumahnya ketika berumur 86 tahun.
  • Beliau meninggal setelah sakit berlarutan selama 22 hari ketika itu Madinah di bawah genggaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid selama 9 tahun.
  • Sebelum meninggal, Imam Malik berwasiat agar jenazah beliau dikafankan dengan pakaian putih yang selalu beliau pakai ketika kehidupan sehariannya.
  • Beliau meminta juga agar jenazahnya dikebumikan di Tanah perkuburan Baqi’ iaitu di luar kota Madinah di mana tempat persemadian jasad para keluarga Rasulullah dan para sahabat.
  • Imam Malik meninggalkan seorang isteri yang dikahwininya dari kalangan sahaya. 4 orang anak iaitu 3 orang lelaki (Muhammad, Hammad dan Yahya) dan seorang perempuan (Fatimah dengan gelaran Ummu Abiha)*
  • Harta pusaka yang ditinggalkan untuk isteri dan anak-anaknya berupa wang tunai kira-kira 3300 dinar.

***

  • Kitab Muwatta’ merupakan karya agungnya yang termasyhur.
  • Beliau mendasari hukum dalam kitabnya dengan keutamaan; al-Quran, hadith atau sunnah yang beliau pandang sahih, amalan ahli Madinah atau ijma’ ulama madinah, qiyas, dan maslahah al-Mursalah.
  • Mazhab Imam Malik telah terkenal dan berkembang masyhur di Mesir dan Andalus.


Tanda ( * ) mempunyai kisah cerita yang lebih panjang dan sebab musabab yang menjadikan ia sebegitu serta memerlukan kepada penghuraian lebih detail.




RUJUKAN: Riwayat hidup 4 Imam Mazhab



nur el-huda, 2 April 09, 21.54pm,

D-G-4


Tuesday, April 07, 2009

Gara-gara gelojoh

Suatu hari al-Jundi masuk ke suatu bilik mandi awam dengan hanya memakai kain mandi. Kebetulan di situ ada seorang lelaki hitam sedang menunduk-nunduk membasuh sesuatu. Tanpa berfikir panjang, al-Jundi lalu mendesak orang hitam itu dengan kasar. Maka dia pun berpindah ke tempat lain dan tempatnya diambil alih oleh al-Jundi. Tidak cukup dengan itu, al-Jundi merampas pula gayung yang dipegang oleh orang itu dan menyusruhnya agar mencedokkan air.

“Hai orang hitam! Tolong tuangkan air ke badan saya.” Pinta al-Jundi kepada orang yang tidak dipastikannya itu.

Orang itu tidak membantah, malah dengan suka hati dia mencedokkan air dan dituangkannya ke badan al-Jundi berulangkali. Maka seronoklah al-Jundi kerana ada yang memandikannya, sama seperti budak-bdak kecil.



Sebentar kemudian, datang lagi seseorang ke tempat mandi awam itu. Dia mengenali kedua-dua orang yang telah lebih dahulu ada di situ. Apabila terlihat apa yang berlaku, orang yang baru datang itu berteriak serta-merta: “Wahai al-Jundi! Celaka engkau. Mengapa engkau memperkhadamkan anak Fatimah binti Rasulullah?”

“Hah?” Kata al-Jundi terkejut.

Apabila dia berpaling, ternyata orang hitam yang diperlakukannya dengan gelojoh sejak tadi itu adalah Ali Ridha al-Kadhim bin Jaafar Sadiq, keturunan Rasulullah s.a.w.

Al-Jundi segera meminta maaf sambil mencium kaki Ali Ridha sambil menyatakan penyesalannya.

“Maafkan saya, jangan kutuk saya. Saya terlalu gelojoh telah menyuruh tuan menuangkan air ke kepala saya.” Kata al-Jundi.

Ali Ridha sebagai salah seorang cucu Rasulullah s.a.w dan ulama besar, sedikit pun beliau tidak marah terhadap perlakuan al-Jundi itu.

“Mengapa engkau mesti bersedih? Aku tidak menganggapmu bersalah kerana apa yang kamu lakukan itu mendatangkan pahala bagiku.” kata Ali Ridha.

Untuk menghiburkan hati al-Jundi, Ali Ridha bersyair:

Aku tidak menggap dosa
Dan tidak berdosa
Orang yang memanggilku:
“Wahai orang hitam! atau “Wahai si hamba!”
Yang berdosa adalah orang yang menganiaya diriku
Kerana perbuatan itu tidak terpuji.

Tuesday, March 03, 2009

Kitar manusia


Kelmarin di hospital HUKM benar-benar membuatkan saya insaf pada diri sendiri. Mengingat kembali pesan Allah swt melalui hadith nabiNya; “sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah selama tempoh 40 hari juga, kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan roh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya” (Bukhari, nombor hadith 3036 dan Muslim, nombor hadith 2643)


Begitulah yang berlaku pada pesakit-pesakit tua di dalam wad tersebut. Sesetengah mereka membuang air kencing melalui saluran tiub, tangan yang lebam kesan dari mengambil darah dan tiub air yang bergantung di tiang, makan bersuap, jalan berpapah dan dikerumuni ramai sanak saudara yang hadir. Lagaknya seperti anak kecil yang baru dilahirkan yang memerlukan rawatan rapi berpanjangan. Sesekali jururawat datang memeriksa keadaan mereka.


Keadaan mereka tidak ubah sepertimana ketika bayi dahulu. Benar kehidupan memang begitu. Apabila Allah ingin menghidupkan sesuatu maka galang gantinya dengan sesuatu yang lain. Begitulah kitaran hidup manusia di bumi ini. Ketika di dunia ini tidak ada sesuatu yang kekal. Setelah melalui suatu tempoh yang telah ditetapkan, maka Dia berhak mengambil kembali kepunyaanNya. Hanya di syurga kelak yang kekal abadi.


Di bilik sebelah, seorang nenek berumur 76 meraung-raung menyebut kalimah La Ilaha IllaAllah, sepertinya sedang menahan derita dari suatu azab. Keadaan itu berlarutan dari sejak dia dimasukkan ke hospital. Saya fikir mungkin dia benar-benar ingin mengingati Allah saat ajal semakin mendekat. Meminta keampunan dari segala dosa kesalahan dahulu. Berdoa agar diringankan azab ketika nyawa ditarik keluar oleh Izrail. Melihatkan keadaan nenek tersebut menjadikan saya melihat kembali diri sendiri. Betapa ketika saya dirundung pelbagai masalah kehidupan yang saya anggap tidak mampu lagi untuk digalas, meratus doa-doa saya panjatkan setiap kali usai solat dan kadang-kala ketika terasa benar-benar sedang diuji. Jika dibandingkan dengan nenek tersebut, ujian yang Allah berikan pada saya ketika ini belumlah sekuat mana, tetapi hati manusia yang suka merintih, mengeluh dan menganggap segala ujian ini sebagai satu beban yang memberatkan kehidupan manusia. Mensyukuri dengan nikmat yang Allah masih berikan ketika ini membuatkan saya menganggap masalah dan ujian kepada saya ketika ini sangatlah kecil dan remeh temeh. Pun begitu, hati sering berasa seolah-olah hidup tidak berguna lagi.


Melihat kembali keadaan orang-orang tua di wad tersebut, saya fikir jika dipanjangkan umur kelak mungkin saya juga akan mengalami keadaan yang sama. Alam telah bersaksi bahawa umur umat Muhammad s.a.w akhir zaman adalah sekitar 60-70 tahun jika hendak dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi terdahulu yang menjangkau ratusan tahun. Bermula dengan bayi, kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan seterusnya tua iaitu kembali semula kepada sifat bayi dan kanak-kanak.


".....sesungguhnya Engkaulah (Wahai Tuhan) Yang mengeluarkan sesuatu Yang hidup dari benda Yang mati, dan Engkaulah Yang mengeluarkan benda Yang mati dari sesuatu Yang hidup......" (Ali Imran: 27)


nur el-huda, 20.54pm, 28 Feb 09,

D-G-4