Sunday, May 30, 2010

Krismas-Raya Cina-Deepavali- Boleh tak nak gi sambut sekali?



Esok Krismas, aku nak sambutlah. Bulan depan Gong Xi Fa Chai, aku nak beli Cheong Sam-lah. Dua bulan lagi Deepavali aku nak pakai saree-lah.


Pernah tak anda terdetik sedemikian ini di hati anda atau anda pernah laluinya sendiri?

Setengah orang begitu seronok sambut perayaan masyarakat bukan Islam. Kadang-kadang kerana keterujaan yang melampau ia melebihi penganut agama itu sendiri, hingga ada yang menyanyikan lagu perayaan bukan Islam itu dan berkongsi raya.

Ramai yang cakap: “Tak pe, sambut je. Bukan salah pon.“ sedangkan hakikatnya ia boleh menggangu aqidah kita.

Lama-lama tanpa disedari perkara yang dianggap remeh ini sebenarnya telah membawa orang Islam hanyut/lalai dengan perintah agama sendiri. Sedangkan pihak luar tertentu terus mencuba sedaya-upaya memperdayakan agama Islam dari pelbagai cara.

Tokoh-tokoh murtad seperti Lina Joy, Hartina Kamarudin, Nor Aisyah Bokhari dan kes-kes lain yang membimbangkan umat Islam.

Tahukah anda apa hukum kalau kita orang Islam meraikan perayaan bukan Islam? Atau kita pun buat kesimpulan juga bahawa “Tak apa” raikan perayaan orang bukan Islam atau kita tahu tapi buat-buat tak tahu?!

Menghadiri dan merayakan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadith riwayat Abu Daud menerusi Ibn Umar r.a yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesatu kaum, dia termasuk di dalam golongan kaum itu.”

Dari hadith ini dapat ditafsirkan bahawa orang Islam tidak dibenarkan sama sekali melibatkan diri dalam menyambut perayaan agama bukan Islam, seperti mengunjungi rumah-rumah ibadah, pakai pakaian yang ada simbol agama mereka dan seumpamanya.

Ini kerana, dengan berbuat demikian bererti wujud tanda-tanda redha pada kekufuran, sedangkan redha pada kekufuran ditegah dan dilarang keras.

Selain itu, para ulama menegah orang Islam dari menghadiri upacara perayaan agama masyarakat bukan Islam dan turut sambut perayaan mereka itu.

Contoh Imam Malik yang berpendapat bahawa pemerintah perlu tegah orang Islam dari menghadiri perayaan bukan Islam.

Imam Ahmad pula berdalilkan firman Allah SWT surah al-Furqan ayat 72 yang bermaksud:

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”

Kesimpulannya jelas menunjukkan sebarang bentuk upacara keagamaan bukan Islam diHARAMkan untuk dihadiri oleh orang Islam kerana boleh memesongkan aqidah seseorang.

Bagaimana pula menghadiri rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan mereka?


Kalau kita lihat di Malaysia ni seperti sudah menjadi satu kebiasaan dan tradisi. Dalam hal ini, setengah lama mengharamkan bagi mengelakkan penzahiran orang bukan Islam dalam Negara Islam seterusnya menyerupai mereka.

Tetapi di Malaysia ini amalan rumah terbuka tidak melibatkan upacara keagamaan tetapi sekadar hidangan makan-makanan dan minuman yang dihalalkan. Lagi pula kebanyak rumah terbuka tidak diadakan di rumah-rumah ibadat tetapi di rumah pembesar-pembesar dan pemimpin negara. Ini bertjuan untuk mengelakkan fitnah dan mudarat lebih teruk jika pemimpin tidak menjenguk rumah terbuka kaum bukan Islam.

Secara ringkasnya begini:

Boleh hadiri jika tidak ada unsur-unsur penyembahan dan upacara keagamaan yang boleh pesongkan aqidah dan kufur samada melalui perbuatan atau perkataan.

Tak boleh kalau ada unsure pertentangan dengan syarak seperti sama pakaian, baju warna merah seperti santa claus atau lain-lain yang menyerupai.

Tak boleh jika wujud pergaulan bebas tanpa batas, adab sopan yang bercanggah dengan akhlak-akhlak Islam.

Tak boleh hadir jika terdapat dalam majlis itu unsur-unsur sensitif menghina Islam dengan alas an mempersendakan pegangan agama Islam.

Jika majlis rumah terbuka ini seperti di atas, maka ia dibenarkan dalam satu-satu keadaan majlis tersebut. Namun yang penting, kita umat yang beragama Islam perlu berhati-hati dengan tindak-tanduk masyarakat bukan Islam. Kita perlu kuat pegangan agama dan jangan mengambil sikap sambil lewa terhadap isu seperti ini seterusnya menyelamatkan kita dari sebarang kesesatan.


--->>> ### <<<---

Thursday, May 20, 2010

Empat jenis hati


Ahmad ath-Thabrani dalam satu riwayatnya ada menyebutkan bahawa ada 4 jenis hati.

1) Pertama, hati yang permukaannya licin dan bersih, di dalamnya ada pelita yang menerangi. Itulah hati orang-orang Mukmin.

2) Kedua, hati hitam dan terbalik permukaannya, iaitu hati milik orang-orang kafir.

3) Ketiga, hati yang tertutup dan terikat dalam sampul, iaitu hati orang-orang munafik.

4) Dan keempat hati yang pipih. Di dalamnya ada keimanan bercampur kemunafikan.

Perumpamaan keimanan yang ada padanya seperti tanaman sayur-sayuran yang sihat kerana disirami air yang baik, sedangkan perumpamaan kemunafikan yang ada padanya seperti bisul yang dipenuhi nanah.


Jadi, yang mana satukah jenis hati kita? Pilihlah.

Tuesday, May 11, 2010

Taghut? Siapa Taghut?

Taghut ialah sesuatu yang disembah selain Allah. Meredhai segala sembahan, menyerahkan kepadanya segala ketaatan dan menjadikannya sebagai ikutan selain daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Taghut dapat dikelaskan kepada 5 golongan:

1) Syaitan yang menyeru kepada ibadah selain Allah.
Firman Allah dalam surah Yaasin ayat 60 yang bermaksud:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!"


2) Para pemimpin zali yang meminda hukum-hukum Allah.
Allah berfirman dalam surah al-Nisa ayat 60 yang bermaksud:

"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh."

3) Mereka yang berhukum dengan hukum selain hukum Allah.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir."

4) Mereka yang mengaku tahu ilmu ghaib selain Allah.
Allah telah berfirman dalam surah al-An'am ayat ke 59 yang bermaksud:

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata."

5) Segala sesuatu yang disembah selain Allah dan dia redha dengan peribadatan itu.
Firman Allah dalam surah al-Anbiya' ayat 29 yang bermaksud:

"Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: “Sesungguhnya aku ialah tuhan selain dari Allah”, maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim."


Maka mereka tidak akan dikira beriman selagi mereka tidak mengingkari Taghut

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."