Wednesday, June 02, 2010

Boleh tak orang bukan Islam masuk Syurga?


Pernah tak anak anda atau sesiapa sahaja atau anda sendiri terfikir tentang soalan ini? Mari kita selami dialog antara anak kecil ini dengan ibunya.

Anak kecil: “Mak, boleh tak uncle Sam masuk Syurga?”
Mak: “Tak, sebab uncle bukan orang Islam. Syurga tu Allah jadikan hanya untuk orang baik-baik sahaja”
Anak kecil: “Tapi uncle Sam kan baik?”

Jika anda berada di tempat ibu atau bapa apa yang akan anda jawab? Sekiranya anak-anak bertanyakan soalan begitu, beritahu dahulu pada mereka apa itu ’Bukan Islam’. Orang bukan Islam adalah orang yang tak menganut agama Islam, yang tidak mengimani, tidak mengakui bahawa Allah itu sebagai Tuhan, yang dipanggil kafir. Kafir ialah yang menolak, ingkar dan tidak percaya kepada Allah, Rasl dan agamaNya.

Kemudian kafir terbahagi kepada 2 iaitu kafir Harbi (orang kafir yang memerangi orang Islam) dan kafir Zimmi (orang kafir yang duduk dalam negara Islam, tidak memusuhi atau memerangi orang Islam dan membayar cukai pada negara tersebut.

Tentang Syurga dan neraka pula, terangkan pada anak-anak bahawa itu semua urusan Allah. Kita sebagai manusia tidak boleh menentkan samada seseorang itu masuk Syurga atau Neraka.

Ada tak orang bukan Islam masuk Syurga?
Ya ada. Orang bukan Islam ada masuk Syurga dan ada yang masuk Neraka. Begitu juga dengan orang Islam. Inilah keadilan Allah.

Tentu anak-anak akan jadi lebih bingung. Bukankah orang bukan Islam mengingkari Allah, kenapa pula boleh masuk Syurga?

Jawabnya, orang bukan Islam masuk Syurga dari kalangan mereka yang tak pernah dengar dan tak tahu langsung tentang Islam.

Contoh, anak-anak yang belum baligh yang dilahirkan dari benih orang bukan Islam. Contohnya orang Eskimo dan orang asli yang duduk jauh dalam hutan dan tak pernah langsung dengar dan tak tahu tentang Islam. Hanya orang kategori ini sahaja bukan semua.


Orang Islam di dalam Neraka adalah mereka yang tak melaksanakan apa yang Allah suruh, tapi lepas tamat azab neraka, mereka akan dimasukkan ke Syurga pula.

Kalau anak-anak tak faham juga, jelaskan bahawa orang Islam dan bukan Islam akan lalui 2 proses yang sama.

1- Pertama: semasa kita di alam roh, fitrah manusia hanyalah kepada Allah dan hanya yang jadi keutamaan.
2- Kedua: selepas lahir ke bumi, ibu bapa yang tentukan samada anak itu Yahudi, Majusi atau Nasrani.
3- Ketiga: selepas baligh kewajiban mencari kebenaran terletak atas bahu kita sendiri.

Jika anak-anak tanya apa itu Neraka? Ceritakan pada mereka bahawa Neraka itu asal perkataan dari unggun api. Allah SWT cipta Neraka sebagai tempat orang bukan Islam dan orang yang ingkar pada perintah dan suruhan Allah. Di dalam Neraka, mereka akan dibakar dan diseksa dengan azab seksaan yang sangat pedih yang para penjaga Neraka itu terdiri dari malaikat yang gagah lagi bengis. Mereka tak derhaka pada Allah, mereka lakukan apa sahaja perintah Allah.

Tentu anak-anak rasa takut, gerun dan menggigil. Kemudian terangkan juga bahawa Neraka itu ada 7 kategori dan juga jangan lupa ceritakan juga Syurga itu ada 7 tingkat serta keindahan, kenikmatan dan kesenangan yang Allah janjikan untuk hamba-hambaNya yang soleh.

Beritahu pada mereka bahawa apa semua yang diceritakan tadi adalah dari al-Quran, hadith dan para ulama. Namun hal Syurga-Neraka adalah milik Allah SWT.

Bahawa orang waras yang punya akal dan fikiran perlu cari kebenaran. Bagi orang yang sememangnya beragama Islam perlu sentiasa baiki diri dan sentiasa mahu tingkatkan amalan dan kekuatan iman. Bagi yang bukan Islam pula, mereka perlu berusaha mencari kebenaran yang hakiki.

Akhirnya, katakan pada anak-anak anda, bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai seorang Muslim dan dihadiahkan hidayah yang tidak ternilai.


Jangan lupa laksanakan perintahNya ya! (^_^)"