Monday, April 16, 2007

Love is Cinta


Segala puji bagi Allah, yang jikalau seluruh pohon di atas muka bumi ini dijadikan pena dan lautan dijadikan tinta untuk menulis ilmu Allah, maka tiada akan habis ilmu Allah. Maafkan aku Ya Allah kerana menulis 'benda' ini. Ampunkan aku.

Bismillahirrahmanirrahim.
Pada semua sahabat yang kukasihi… Cintailah kalian pada pemberi nikmat, dan janganlah kalian menyintai pada nikmat yang diberikanNya. Amiinn.

Cinta. Soal cinta ini tidak akan pernah habis kalau hendak diungkapkan. Perkara cinta ini kehidupan. Yang mana seperti asam, garam, gula dan kopi. Jikalau tiada, ia seperti tawar, tidak bermakna, kosong. Kita akan sentiasa berlegar di antaranya. Tiada pengecualian.

Suka aku berkongsi dengan kalian dari banyak-banyak pembacaanku dalam soal ini. Sedikit petikan yang aku ambil :

Golongan lain berkata, “Al-Isyqu ialah kepasrahan dan ketundukan kepada orang yang dicintai. Al-Wajdu adalah cinta yang tenang, sedangkan al-Hawa adalah hasrat kepada sesuatu lalu mengikutinya. Al-Hubbu (cinta) meliputi tiga macam istilah ini.”

Al-Ma’mun pernah bertanya kepada Yahya bin Aktsam, “Apakah cinta buta itu?”

Yahya menjawab, “Bayang-bayang keindahan yang melintas dalam diri seseorang, lalu hatinya tunduk kepadanya dan rela berkorban kerananya.”

Tsumamah bin Asyras menyampuk, “Diamlah wahai Yahya. Engkau memberi jawapan dalam masalah penceraian atau orang sedang ihram yang berburu kijang. Ini adalah masalah kami.”

Al-Ma’mun berkata, “Katakanlah wahai Tsumamah!”
Tsumamah berkata, “Cinta buta adalah teman duduk yang menyenangkan, pendamping yang lemah lembut, pemegang kekuasaan yang langkah kakinya gemulai, pandangannya redup, menguasai badan dan jiwa, hati dan perasaan, akal dan fikiran. Kekuatannya mampu menutupi pandangan dan membutakan hati.”

Al-Ma’mun berkata, “Tepat sekali jawapanmu wahai Tsumamah.” Seraya memberinya hadiah seribu dinar.

Al-Ashma’y pernah bertanya kepada seorang A’raby tentang cinta buta. Maka orang itu menjawab, “Demi Allah, itu sulit dilihat dan dipandang. Cinta itu tersembunyi di dalam dada seperti percikan api yang tersembunyi di bilik. Jika diterangi ia bersembunyi dan jika dibiarkan ia menepi.”

Sebahagian orang berkata, “Cinta buta termasuk gila, dan gila adalah seni. Bererti cinta buta termasuk seni gila.” Hal ini berdasarkan kepada perkataan Qais,

“Kau gila kerana orang yang kau cinta
memang cinta buta lebih parah dari gila
orang tidak bisa sedar kerana cinta buta
sedang orang gila bisa terkapar tak berdaya.”

Jadi di manakah seharusnya cinta itu diletakkan. Samada kita yang buta kerana cinta gila atau memang sifat cinta itu yang semulajadi buta lagi menggila.


~huda, 14 April 2007, 21.46pm, Sri Putra City, Mahkota Hill~

[mood : heart murmur]

Friday, April 06, 2007

Mencari bayang Kekasih Allah


Mencari bayang Kekasih Allah
~ 31 Mac 2007 (12 Rabiul Awal 1428h) ~


Bismillahi walhamdulillah. Allahu Akbar.

Syukurku pada segala limpah rahmatMu Ya Allah, kasih sayangMu yang tidak berbelah bagi pada nikmat keimananku, Islamnya aku pada agamaMu yang suci, dan pada tiap nafas dan denyut nadiku hanya berbalik padaMu. Hidup dan matiku hanya ditanganMu. Ampunkan aku Ya Allah, dari segala dosa semalam, hari ini mahupun yang akan datang, samada dalam aku sedar atau tidak. Bahawa Tuhanku adalah tuhan yang Satu (Esa). Jauhkan aku dari azab api nerakaMu, sesungguhnya aku takut pada murkaMu. Aminn.

Sesungguhnya, adalah bertuah kita sebagai umat akhir zaman, umat nabi kekasih Allah, Muhammad s.a.w, selawat dan salam ke atasnya dan seluruh ahli keluarganya, dan para sahabat yang dimuliakan, kita banyak diberi keistimewaan oleh Allah berbanding umat-umat nabi terdahulu. Maka, adalah tidak wajar kita melupakan tarikh keramat kelahiran baginda dan segala yang berkaitan dengan diri baginda. Mujur kita masih berada di negara yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam berpandukan al-Quran dan bersunnahkan sunnah baginda.

Di dalam sebuah kitab ada diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Jika diselak dalam kebanyakan helaian lakaran-lakaran sirah nabawiyyah, bahawa Muhammad s.a.w adalah nabi dan rasul yang paling kasih pada umatnya. Dialah yang menjadi sumber rujukan pertanyaan tika hayatnya dalam pelbagai permasalahatan yang timbul. Rasulullah sempat mengingatkan sebelum sampai ajal baginda bahawa : Sabda Rasulullah s.a.w :

“ Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah al-Quran dan yang diam itu ialah maut.

Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada al-Quran dan hadith-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras, maka lembutkan ia dengan mengambil pengajaran dari mati.”

Setelah Rasulullah bersabda demikian, maka gering Rasulullah bermula. Dalam bulan Safar itu, baginda sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat. Sehinggakan ketika baginda dalam keadaan nazak, baginda sempat bertanyakan kepada Jibrail a.s tentang keadaan umatnya. Sabda baginda kepada Jibril : “Katakan padaku wahai Jibril tentang umatku di hari qiamat nanti.”

Maka Jibril menjawab :
“ Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : “ Sesungguhnya Aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan Aku juga telah melarang semua umat manusia memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga.”

Mendengarkan jawapan Jibril itu, Rasulullah berasa senang hati dan hilang segala rasa susahnya. Dan ketika malaikat Izrail menarik keluar roh baginda, Rasulullah masih menyebut : “umatku, umatku.”

Subhanallah, Maha Suci Allah, jelas nampak pada kasih sayang yang baginda tunjukkan kepada kita, umatnya, umat akhir zaman, dan syafaat yang dijanjikan kepada kita semasa di Akhirat kelak. Pada masa itu, kita semua akan berbondong-bondong berjumpa dengan baginda untuk meminta syafaat bagi meringankan seksa yang pedih, yang tidak tertanggung. Maka berkata :

“Wahai Muhammad engkau adalah pesuruh dan penyudah segala nabi. Allah telah mengampunkan dosa engkau yang dahulu dan kemudian. Tidakkah engkau lihat pada keadaan yang kami alami ini. Tidak bolehkah engkau memohon syafaat bagi kami daripada Tuhan engkau?”

Dari hal itu, Rasulullah pergi ke bawah Arasy serta meletakkan kepalanya sambil sujud dan menangis dengan tangisan yang kuat sekali, merendahkan diri hanya kepada Allah dengan berkata :
“Ya Allah, aku tidak memohon kepadaMu untuk diriku sendiri, dan tidak juga untuk Fatimah anak isteriku dan tidak juga untuk Hasan dan Husin, tetapi ianya adalah untuk seluruh umatku.”

Lalu Allah s.w.t berfirman :

“Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, dan mintalah, akan Aku beri syafaat, engkau akanKu beri syafaat dan Aku beri umatmu apa-apa yang engkau kehendaki dan di atas apa-apa yang engkau senangi.”

MasyaAllah, sehingga begitu sekali Rasulullah menyayangi kita semua. Tidak hairanlah dia digelar sebagai kekasih Allah. Punya hati yang suci lagi mulia, tidak tergamak rasanya jika ada di kalangan umatnya yang berpaling dan mendustai risalah kenabian yang dibawanya. Nauzubillahi min zalik.

Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 44 :

ثم أرسلنا رسلنا تترا كل ما جآء أمة رسولها كذبوه فأتبعنا بعضهم بعضا وجعلنهم أحاديث فبعدالقوم لايؤمنون

Yang bermaksud :
“ Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami bersilih ganti. Tiap-tiap kali sesuatu umat didatangi Rasulnya, mereka mendustakannya, lalu Kami binasakan umat-umat yang demikian, lepas satu-satu, dan Kami jadikan perihal mereka sebagai cerita-cerita yang mendatangkan ikhtibar, maka kebinasaanlah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.”

Kita juga wajar menjadikan akhlak baginda Rasulullah sebagai contoh akhlak terbaik dalam meladeni kehidupan seharian meliputi perkara-perkara seperti ibadah, suruhan, larangan, bangun, tidur, berjalan, duduk, baring, makan, minum serta pergaulannya dengan keluarga dan para sahabatnya. Akhlak-akhlak baginda ini yang patut dijadikan idaman dan panduan bagi setiap pencinta kebaikan yang mendambakan pahala dariNya.
Allah berfirman :

لقد كان في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Yang bermaksud : “ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(al-Ahzab : 21)

Tetapi kita tidak boleh sekadar mengikut apa yang terzahir di depan mata kita atau sekadar apa yang kita tahu dan pelajari sejak dari sekolah rendah atau apa yang kita yakin orang lain pun melakukan perkara yang sama, bahkan kita patut melakukan lebih daripada itu. 1)Berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan dasar-dasar agama, 2)menjadikannya sebagai sumber ilmu pengetahuan, sumber hujah, bukti, dan sumber inspirasi dalam kehidupan, 3)mengikut sunnah baginda, 4)bermegah denga keunggulan sejarah baginda dan salafus soleh, 5)mengembangkan agama Islam di tengah-tengah alam Jahiliah serta banyak lagi yang boleh kita rencanakan.

Tidak memadai dengan mengadakan majlis-majlis dengan sinaran lampu, dengan tulisan yang berentang, dalam buku, atau pidato-pidato yang diucapkan di atas pentas. Semua itu hanyalah tanda luaran yang tidak mencukupi dalam memberi penghormatan kepada Rasulullah s.a.w. Allah berfirman :

ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله وعمل صلحا وقال إننى من المسلمين

Yang bermaksud : “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : “sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam yang berserah bulat-bulat kepada Allah.”
(al-Fussilat : 33)

Semoga hari Maulidur Rasul kali ini memberi banyak manfaat kepada diri kita, dapat menambahkan lagi tingkat keimanan dan ketaqwaan kita pada Allah serta rasulNya sebagai seorang hamba yang taat dalam meniti hari-hari yang mendatang. InsyaAllah. Aminn.

BE A GOOD MUSLIM OR DIE AS A SYUHADA
~ Nurulhuda, 30 Mac 2007 (11 Rabiul Awal 1428h), 21.57pm,
Sri Putra City, Mahkota Hill ~

p/s : Artikel ini sempat aku siapkan walaupun ketika dalam kesibukan yang menyerabutkan, tapi postingnya agak terlambat sedikit kerana kesibukan yang tidak menyempat. Jadi dah masuk bulan April. Maaf ya!