Thursday, December 06, 2007

Ilmu Qiraat


وتسهل أخرى فمزتين بكلمة * سما وبذات الفتح خلف لتجملا
وقل ألفا عن اهل مصر تبدلت * لورش وفي بغداد يروى مسهلا



Ini adalah 2 matan dari 19 matan dalam bab همزتين في كلمة ( 2 hamzah dalam satu kalimah) oleh Imam as-Syatibi. Ia juga dipanggil sebagai sye’er (syair) dalam qiraat atau matan as-Syatibiah.


Maksud matan pertama rangkap pertama ialah; apabila dihimpunkan dua hamzah dalam satu kalimah. Syarahnya adalah; hamzah yang pertama mesti (wajib) berbaris atas (fathah ﹷ) dan hamzah yang kedua boleh dibaca samada fathah (ﹷ), kasrah (ﹻ), atau dommah (ﹹ). Seperti di dalam kalimah ءَأنْزَرْتَهُمْ dalam surah al-Baqarah yang berbaris atas (fathah ). Jika berbaris bawah (kasrah ), contoh kalimah أئِذا dalam surah al-Mursalat dan kalimah أَؤُنبئكم yang berbaris depan (dommah ) di dalam surah ali-Imran.



Rangkap ke dua pula membicarakan bahawa Imam ibn-Kathir (ابن كثير), Imam Naafi’ (إمام نافع), dan Imam Abu ‘Amru (أبو عمرو) sepakat membacanya dengan bacaan tashil (تسهيل) bagi 3 kalimah di atas yang disebutkan. i.e: Maksud tashil (تسهيل) ialah memudahkan seseorang pembaca membacanya apabila bertemu kalimah yang mempunyai dua hamzah, membacanya tanpa menghazafkan (حذف -buang) hamzah yang kedua. Tetapi Imam Hisyam berbeza khilaf (خلف -berbeza) pendapat pada hamzah yang kedua. Beliau mengatakan boleh membaca dengan bacaan tashil dan tahqiq (تحقيق) pada dua hamzah yang berbaris atas (fathah ). Maknanya pada kalimah ءَأنْزَرْتَهُمْ. Tetapi untuk dua kalimah yang selebihnya tetap dibaca dengan baaan tashil.


Bagi matan kedua rangkap pertama, Imam Warsh (إمام ورش) berpendapat bahawa dua hamzah yang berbaris atas itu, ditukarkan hamzah kedua kepada huruf mad (ا و ي) dan selepasnya huruf yang bertanda mati (sukun ْ ) dengan kadar 6 harkat. Tetapi jika selepas huruf hamzah yang kedua itu berbaris, Imam Warsh membacanya dengan kadar 2 harkat. Contoh bagi kalimah yang bertanda mati (sukun ْ ) berkadar 6 harkat ialah ءَأنْزَرْتَهُمْ dan ءَأَلِدُ dengan kadar 2 harkat. (dua hamzah selepasnya berbaris)


Bacaan tashil (تسهيل) mengikut Imam Warsh adalah sama seperti yang disebutkan oleh tiga Imam di atas. Yang berbezanya adalah dari segi apabila hamzah kedua selepasnya huruf bertanda mati (sukun ْ ) atau berbaris.


Baki dari Imam yang di atas adalah Imam Hamzah (إمام همزة) dan Imam ‘Asim (إمام عاصم). Mereka membaca tiga kalimah ini (أئِذا ,أَؤُنبئكم ,ءَأنْزَرْتَهُمْ) dengan bacaan tahqiq (تحقيق). i.e: Bacaan tahqiq ialah menghazafkan (حذف -buang) hamzah kedua dan membacanya dengan bacaan asal. Contoh; أَيِذَا, ءَنْذَرْتَهُم, أََوُنَبئكم dibaca dengan 2 harkat.


Senarai Imam yang dibincangkan :
- Imam ibn-Kathir (ابن كثير)
- Imam Naafi’ (إمام نافع)
- Imam Abu ‘Amru (أبو عمرو)
- Imam Warsh (إمام ورش)
- Imam Hamzah (إمام همزة)
- Imam ‘Asim (إمام عاصم)

************

Sedikit tentang sejarah ilmu Qiraat ini. Adapun ilmu Qiraat ini bermula di Madinah selepas peristiwa hijrah. Pada masa itu telah ramai penduduk Madinah memeluk Islam. Ilmu Qiraat ini muncul kerana Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat dengan pelbagai jenis bacaan. Contoh; jika hari ini Rasulullah mengajarkan kepada si fulan bin si fulan dengan satu jenis bacaan, maka keesokan harinya, Rasulullah akan mengajarkan kepada si fulan bin si fulan yang lain dengan satu lagi bacaan yang lain.

Keadaan ini berlaku kerana terdapat perbezaan bahasa dan bangsa mengikut lidah masing-masing. Contoh; sesetengah orang yang menghadapi kesukaran untuk menyebut huruf ( shin ش) seperti Shah Alam kepada sebutan Sah Alam.


Yang benarnya di dunia ini hanya terdapat 14 Imam dalam ilmu Qiraat. Masing-masing mempunai gaya bacaan yang tersendiri. Di sini saya senaraikan 10 daripada mereka iaitu; Imam ibn-Kathir (ابن كثير), Imam Naafi’ (إمام نافع), Imam Abu ‘Amru (أبو عمرو), Imam Hamzah (إمام همزة), Imam ‘Asim (إمام عاصم), Imam ‘Amir (إمام عامر), Imam Kisa-ie (إمام كسائي), Imam Abu Ja’far (إمام جعفر), Imam Ya’qub (إمام يعقوب), Imam Khalaf (إمام خلف). Mereka masing-masing mempunyai anak murid tersendiri. Mereka inilah Imam-imam Qiraat.


Mempelajari ilmu Qiraat ini memerlukan kita belajar secara talaqqi. Iaitu belajar berhadapan dengan guru menggunakan quran Qiraat (iaitu yang terdapat cara bacaan di tepinya). Jika tidak, kita tidak akan dapat mengetahui secara amalinya bagaimana sebutan huruf atau sesuatu bacaan dan tidak secara teori sahaja.

Semoga dengan perkongsian ilmu ini memberi manfa’ah kepada kita sema. InsyaAllah. Sekian.

_______________________
Rujukan dari kitab Taqriibul Ma’ani Fi Syarah Hirzul al-Amani Fil Qiraat as-Sabi’. Oleh Syed Lasyin Abu al-Farah dan Khalid Muhammad al-Hafiz al-‘Ilmi.
كتاب تقريب المعاني في شرح حرز الأماني في القراءات السبع. تأليف سيد لاشين أبو الفرح, وخالد بن محمد الحافظ العلمي.



*~ nur el-huda, 11 September 2007, 11.10pm,
Sri Putra City, Mahkota Hill ~*

0 comments: