Saturday, November 17, 2007

Ramadhan bulan tarbiah; penghayatan kepada al-Quran


Ramadhan bulan tarbiah; penghayatan kepada al-Quran
Catatan 13 September 2007


Salam dan sejahtera atas sahabat ukhwah fillah semua. Semoga kalian sentiasa berada di bawah naungan dan jagaan Allah s.w.t. tidak kira di mana jua berada.

Bulan Ramadhan adalah bulan bagi semua umat Islam diberi peluang mengaut seberapa banyak amal pahala. Di kala itu juga pahala yang diberikan lagi dilipat-gandakan. Bukan hanya terhenti setakat berpuasa pada siang harinya, dan pada sebelah malamnya dia bertarawih, tetapi ada beberapa amal ibadat yang dapat kita semua manfaatkan sepanjang tawaran Ramadhan ini. Contohnya dengan membaca al-Quran. Itulah indah dan cantiknya Islam.

Selain dari kita membaca al-Quran, kita bertadarus al-Quran dalam bulan yang berkat ini, ialah kita cuba mentadabburkan ayat-ayat al-Quran itu sendiri. Memang kita tidak nafikan membaca al-Quran suatu yang penting, kerana nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut;
إقرأ القران فإنه يأتى يوم القيامة شفيع أصحابه

Maksudnya bacalah al-Quran kerana al-Quran itu datang pada hari Qiamat beri syafaat pada orang yang membacanya. Sesiapa yang membaca al-Quran maka Allah s.w.t akan beri syafaat (pertolongan) kepada orang yang membacanya. Betul, membaca al-Quran sesuatu yang baik dan ia merupakan satu ibadat. Selain daripada membaca itu sendiri, yang keduanya ialah kita mentadabburkan al-Quran. Allah s.w.t menyebut :


أفلا يتدبرون القرأن أم على قلوب اقفالها

Yang bermaksud :
Adakah mereka tidak mentadabburkan, tidak mengambil pengajaran daripad al-Quran ataupun hati mereka itu sudah terkunci? Orang yang membaca al-Quran sahaja tetapi tidak cuba mentadabburkannya, tidak cuba mengamatinya, tidak cuba menyelami isi-isinya, memang orang seperti ini diletakan oleh Allah s.w.t sebagai orang yang terkunci hatinya. Kerana itulah selain dari kita hendak membaca, kita hendaklah faham, dan cuba hayati isi yang disebut Allah s.w.t di dalamnya. Kerana al-Quran yang Allah s.w.t turunkan ini terdapatnya hukum-hakam, ada yang halal, ada yang haram, dan ada yang Allah s.w.t sebut kita kena buat, ada yang Allah s.w.t sebut benda yang tak baik, maka kita kena jauhi. Oleh itu kita hendaklah mentadabburkan ayat-ayat Allah s.w.t. kerana itulah, Rasulullah s.a.w dalam suatu hadis menerangkan bagaimana kaedah jikalau sesuatu itu yang dilarang oleh al-Quran, macam mana reaksi kita, kerana itu nabi s.a.w telah menyebut :

إقراء القرآن ما لهاك فإن لم ينهك فلم تقراء

kata nabi yang bermaksud : bacalah al-Quran, apa yang al-Quran cakap. Bacalah. Contohnya Allah s.w.t menegah kita daripada berzina, makan harta anak yatim, melakukan kezaliman. Maka kata Rasulullah :
فإن لم ينهك; kalaulah kamu hanya membaca sahaja dan ia tidak dapat mencegah kamu dari melakukan dosa, contohnya membaca al-Quran tapi masih melakukan maksiat, membaca al-Quran tetapi meninggalkan sembahyang, membaca al-Quran tetapi tidak menutup aurat; kata Rasulullah فلم تقراء . Dia yang sebenar-benarnya tidak membaca al-Quran. Secara zahirnya dia membaca al-Quran tetapi nabi s.a.w menggambarkan orang itu seolah-olah tidak membaca al-Quran. Ini kerana sepatutnya apabila Allah s.w.t mengharamkan sesuatu dan dia membaca al-Quran, sepatutnya dia tidak melakukannya, ataupun Allah taala perintahkan sesuatu, maka buatlah, sebab ianya datang dari Quran. Dalam hal ini juga, Rasulllah s.a.w. menyebut;

من آمن بالقرآن, من الستحل ما حارما

Rasulullah s.a.w mengatakan; tidak beriman dengan al-Quran orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Yang ini kita perlu perhatikan betul-betul. Apa sahaja kata-kata Rasulullah s.a.w yang Allah s.w.t halalkan, kita kena kata halal, yang Allah s.w.t haramkan, kita kena haramkan. Jadi apabila kita menyebut, kita hendak menghayati al-Quran dalam bulan Ramadhan ini, selain dari kita membaca ialah kita mentadabburkan ayat-ayat Allah s.w.t.

Yang seterusnya yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan kita terutama dalam bulan Ramadhan ini ialah kita pastikan bahawa kita berakhlak dengan akhlak al-Quran. Perangai dan tingkah-laku kita ini seperti sesuatu yang telah dicernakan oleh al-Quran, sepertimana yang digambarkan oleh Aisyah r.a bahawa sifat nabi ini dan akhlaknya; “كان الخلوق القرآن .” (adalah akhlak nabi s.a.w itu al-Quran). Sebagai contoh mudah di dalam al-Quran; Allah s.w.t sebut sifat manusia beriman yang diredhai oleh Allah ialah apabila mereka berjalan di atas muka bumi, mereka berjalan secara tawadhuk dan tenang. Maknanya : di dalam ayat ini, Allah s.w.t mengungkapkan satu akhlak iaitu tawadhuk. Hendaklah berendah diri, tidak boleh ego, tidak boleh bermegah, tidak boleh sombong, tidak boleh merasai bahawa diri kitalah yang paling bagus, diri kitalah paling hebat, kerana itu dari sudut perlaksanaannya, kata Aisyah r.a; nabi s.a.w merupakan manusia yang paling tawadhuk, walaupun Rasulullah s.a.w punya hubungan yang cukup dekat dengan Allah taala. Tetapi nabi s.a.w tidak pernah sombong, nabi bersolat paling banyak tapi dia tidak sombong, nabi paling banyak menafkahkan harta, nabi tidak sombong, nabi paling banyak beribadat pada Allah, sembahyang sehingga bengkak kakinya, juga nabi tidak pernah sombong. Nabi tak rasa; “Akulah manusia paling banyak beribadat” Tidak. Maknanya begitu hebat hubungan dengan Allah, nabi tetap tawadhuk dan begitu juga hubungan dengan manusia. Semua sahabat sayang, semua sahabat kasih kepada Rasulullah s.a.w sehinggakan ada seorang sahabat apabila teringatkan nabi menyebabkan dia menangis, dan ada seorang sahabat yang bernama Bilal ibn Rabah, kasihnya dia kepada Rasulullah s.a.w, apabila nabi telah wafat, tatkala hendak mengalunkan azan tiba pada perkataan;
وأشهد أن محمد الرسول الله … bilal tidak dapat meneruskan azannya, kerana terlalu ingatkan kasih kepada Rasulullah. Itulah sifat nabi yang cukup hebat.

Sesungguhnya al-Quran itu bukanlah hendak menyusahkan kita, sebab itu Allah s.w.t sebut :
طه... ما أنذلنا عليك القرأن لتشقى إلا تذكرة لمن يخشى .” Allah taala menyebut طه ; kami tidak menurunkan al-Quran kepada kamu wahai Muhammad untuk menyusahkan. Tidak. Al-Quran bukan untuk menyusahkan kita, tetapi kata Allah, إلا تذكرة لمن يخشى . Tetapi al-Quran itu merupakan satu peringatan untuk sesiapa yang takut kepada Allah s.w.t. Kalau kita jadikan al-Quran ini sebagai peringatan kepada diri kita sendiri, peringatan di dalam hendak mencari bekalan di dunia, di akhirat, peringatan untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa, peringatan untuk kita berkasih sesama manusia, hormat sesama manusia, bahawa al-Quran itu sudah menguruskan semua itu. Tuhan sudah menerangkan semua sekali. Sebab itu selain dari kita membaca al-Quran, kita perlu jadikan bahawa al-Quran itu yang memberikan peringatan.

Kita adalah hamba Allah. Selain dari menghayati bulan Ramadhan ini, sebagai bulan turunnya al-Quran ialah kita sama-sama menjadikan al-Quran itu sebagai sumber syariat, sebagai sumber hukum yang Allah taala turunkan kepada manusia dan bila Allah taala turunkan hukum-hukum di dalam al-Quran, sumber syariat daripada al-Quran ini, makanya ia sesuai disepanjang zaman. Sesuai untuk semua manusia, semua kelompok masyarakat kerana ia adalah dari Allah s.w.t. Kalau dahulunya, Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa, memang ianya betul, sesuai untuk kaum nabi Musa sahaja. Isa yang diturunkan kepadanya Injil memang betul dan ianya sesuai untuk kaumnya sahaja. Tetapi al-Quran sumber hukum pengsyariatan dan perundangan yang di dalamnya sesuai untuk seluruh umat manusia sepanjang zaman. Kerana kita sebagai manusia adalah Allah s.w.t yang ciptakan. Dia yang Maha Tahu segala-galanya. Pergerakkan manusia, budaya manusia. Kerana itulah jika berlaku sebarang perselisihan di kalangan ummah, kita perlu merujuk kembali kepada kitab Allah s.w.t. Rasulullah ada menyatakan; “لايذيل عنه إلا حال .” Yang bermaksud : Orang yang berpaling daripada al-Quran adalah orang yang melainkan akan hancur rosak. Kalau kita berpaling dari peringatan al-Quran, daripada apa yang disebut Allah s.w.t makanya kita yang akan rosak sendiri.

Kerana itu, di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, dalam bulan yang penuh barakah ini, mari kita lihat diri kita, muhasabah. Sejauh mana penghayatan kita kepada al-Quran.
Akhir kalam, buat sahabat semua, renungkan petikan dari kata-kata Hasan al-Basri ini :

“Orang yang membaca al-Quran tanpa mengambil ikhtibar darinya (kitab suci), ibarat orang yang mati hatinya.”

0 comments: