Wednesday, June 11, 2008

Ilmu Logik

Subjek ini saya pelajari semasa di tahun akhir semester 5. Minat! Itulah perkatan yang dapat saya gambarkan dan beritahu kalian tentang perasaan saya terhadap subjek (madah) ini. Logik atau dikenali juga sebagai ilmu Mantiq kebanyakannya dipelajari oleh pelajar jurusan Islam khususnya Usuluddin. Mari kita terokai serba sedikit tentang ilmu ini. Perbahasan dalam ilmu ini tidak tertumpu kepada permasalahan yang dibincangkan seperti di bawah, tetapi punya pengaruh besar dalam realiti kehidupan masa kini.

Antara ilmu Greek yang diterjemahkan ialah ilmu falsafah. Ilmu falsafah ini termasuklah ilmu logik. Ilmu logik ini dikenali sebagai Logik Aristotle. Logik Aristotle ini telah digunakan oleh ulama-ulama untuk berijtihad iaitu untuk menentukan sesuatu hukum dalam agama Islam samada haram, sunat, harus atau makruh. Umpamanya ialah ijtihad untuk menentukan hukum sesuatu yang memabukkan apabila dimakan atau diminum. Menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w; semua benda yang memabukkan apabila dimakan atau diminum hukumnya haram. Antara yang haram ialah arak yang jelas dilarang oleh Allah s.w.t dalam Quran. Tetapi terdapat benda-benda selain daripada arak yang memabukkan. Untuk menentukan hukum memakan atau meminum benda-benda seperti itu, Logik Aristotle digunakan. Penggunaan Logik Aristotle dalam kes tersebut adalah seperti berikut :

Premis A : Semua benda yang memabukkan haram hukumnya apabila dimakan atau diminum
Premis B : Benda X adalah satu benda yang memabukkan apabila dimakan atau diminum
Kesimpulan : Benda X haram dimakan atau diminum.

Amalan berijtihad untuk menentukan sesuatu hukum telah diperluaskan ke dalam bidang ilmu sains tabii oleh sarjana-sarjana Muslim seperti Ibn Sina, al-Razi, Ibn Haitham, al-Biruni, Jabir ibn Hayyan al-Kufi dan lain-lain sehingga melahirkan kaedah saintifik dicipta oleh sarjana Muslim, bukan Francis Bacon seperti yang didakwa oleh sesetengah penulis Barat. Logik dalam sains dapat dilihat dalam proses deduktif daripada satu generalisasi atau pernyataan umum kepada penjelasan atau meramalkan sesuatu fenomena alam.


Penggunaan logik Aristotle bukan lagi terbatas kepada usaha-usaha dalam ijtihad atau sains tabii, malah ia juga digunakan untuk menjelaskan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan kepercayaan agama seperti kewujudan dan sifat roh, kesementaraan alam atau keabadian alam, dosa dan pahala, syurga dan neraka yang telah selesai diputuskan oleh Allah s.w.t dan RasulNya serta Muhammad s.a.w. Ini menyebabkan Imam al-Ghazali memerangi falsafah kerana ia didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam. Ini telah menyebabkan kemerosotan falsafah dan logik dalam tamadun Islam. Umpamanya dengan menggunakan kaedah logik Aristotle, ada ahli falsafah Islam yang mengatakan bahawa roh turut musnah apabila jasad musnah pada saat kematian dan juga bahawa alam ini kekal abadi selama-lamanya dan ini bertentangan dengan aqidah Islam.


bersambung....

0 comments: