Kelmarin di hospital HUKM benar-benar membuatkan saya insaf pada diri sendiri. Mengingat kembali pesan Allah swt melalui hadith nabiNya; “sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah selama tempoh 40 hari juga, kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan roh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya” (Bukhari, nombor hadith 3036 dan Muslim, nombor hadith 2643)
Begitulah yang berlaku pada pesakit-pesakit tua di dalam wad tersebut. Sesetengah mereka membuang air kencing melalui saluran tiub, tangan yang lebam kesan dari mengambil darah dan tiub air yang bergantung di tiang, makan bersuap, jalan berpapah dan dikerumuni ramai sanak saudara yang hadir. Lagaknya seperti anak kecil yang baru dilahirkan yang memerlukan rawatan rapi berpanjangan. Sesekali jururawat datang memeriksa keadaan mereka.
Keadaan mereka tidak ubah sepertimana ketika bayi dahulu. Benar kehidupan memang begitu. Apabila Allah ingin menghidupkan sesuatu maka galang gantinya dengan sesuatu yang lain. Begitulah kitaran hidup manusia di bumi ini. Ketika di dunia ini tidak ada sesuatu yang kekal. Setelah melalui suatu tempoh yang telah ditetapkan, maka Dia berhak mengambil kembali kepunyaanNya. Hanya di syurga kelak yang kekal abadi.
Di bilik sebelah, seorang nenek berumur 76 meraung-raung menyebut kalimah La Ilaha IllaAllah, sepertinya sedang menahan derita dari suatu azab. Keadaan itu berlarutan dari sejak dia dimasukkan ke hospital. Saya fikir mungkin dia benar-benar ingin mengingati Allah saat ajal semakin mendekat. Meminta keampunan dari segala dosa kesalahan dahulu. Berdoa agar diringankan azab ketika nyawa ditarik keluar oleh Izrail. Melihatkan keadaan nenek tersebut menjadikan saya melihat kembali diri sendiri. Betapa ketika saya dirundung pelbagai masalah kehidupan yang saya anggap tidak mampu lagi untuk digalas, meratus doa-doa saya panjatkan setiap kali usai solat dan kadang-kala ketika terasa benar-benar sedang diuji. Jika dibandingkan dengan nenek tersebut, ujian yang Allah berikan pada saya ketika ini belumlah sekuat mana, tetapi hati manusia yang suka merintih, mengeluh dan menganggap segala ujian ini sebagai satu beban yang memberatkan kehidupan manusia. Mensyukuri dengan nikmat yang Allah masih berikan ketika ini membuatkan saya menganggap masalah dan ujian kepada saya ketika ini sangatlah kecil dan remeh temeh. Pun begitu, hati sering berasa seolah-olah hidup tidak berguna lagi.
Melihat kembali keadaan orang-orang tua di wad tersebut, saya fikir jika dipanjangkan umur kelak mungkin saya juga akan mengalami keadaan yang sama. Alam telah bersaksi bahawa umur umat Muhammad s.a.w akhir zaman adalah sekitar 60-70 tahun jika hendak dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi terdahulu yang menjangkau ratusan tahun. Bermula dengan bayi, kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan seterusnya tua iaitu kembali semula kepada sifat bayi dan kanak-kanak.
".....sesungguhnya Engkaulah (Wahai Tuhan) Yang mengeluarkan sesuatu Yang hidup dari benda Yang mati, dan Engkaulah Yang mengeluarkan benda Yang mati dari sesuatu Yang hidup......" (Ali Imran: 27)
nur el-huda, 20.54pm, 28 Feb 09,
D-G-4
0 comments:
Post a Comment