Sunday, April 13, 2008

UNIVERSITI AL- AZHAR KAMPUS MALAYSIA -cawangan Negeri Sembilan

REMBAU, 13 April (Bernama) -- Selepas ribuan tahun penubuhannya, Universiti Al Azhar di Mesir akhirnya membuka cawangan pertamanya di Malaysia.

Majlis pecah tanah bagi kampus cawangan itu diadakan di Kompleks Yayasan Sofa Negeri Sembilan berhampiran Kampung Bukit Sembilan di sini, Ahad.

"Kami telah bekerja keras untuk mencapai usaha ini dan Alhamdulillah akhirnya kami berjaya," kata wakil universiti tersebut, Dr Umar Abdullah Kamil kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Beliau berkata Malaysia dipilih untuk ditubuhkan cawangan universiti berkenaan kerana negara ini mempunyai ramai penduduk Islam dan bangsa Melayu dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai bangsa yang kuat pegangan agama dan menganuti fahaman Sunah.

Umar Abdullah yakin pelajar dari Indonesia, Thailand dan India akan datang belajar di kampus di sini.

Katanya satu lagi kampus cawangan dicadang untuk ditubuhkan di Thailand di masa depan.

Universiti Al Azhar kini mempunyai kira-kira 28,000 pelajar dan kira-kira 7,000 orang dari mereka datang dari rantau ini.

Hakim Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, Mohd Shukor Sabudin berkata dengan adanya kampus Al Azhar itu, ia diharap menjadi pusat pengajian Islam dan tempat rujukan masyarakat Islam.



REMBAU: Penubuhan cawangan Universiti Al-Azhar kampus Malaysia di Negeri Sembilan mampu melonjakkan negeri dan negara ini sebagai hab serta destinasi pengajian tinggi terunggul di persada antarabangsa, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, penubuhan cawangan universiti tertua
dunia itu di luar Mesir satu sejarah kerana ia pertama kali ditubuhkan dalam tempoh 1,000 tahun pusat pengajian terunggul itu beroperasi.


Katanya, ia bukan saja memberi impak besar, terutama mewujudkan peluang pendidikan sempurna kepada umat Islam, malah menjadi benteng kepada mereka berhadapan pelbagai ancaman anti-Islam. "Kelulusan Majlis Senat universiti itu menubuhkan kampus cawangan pertamanya di luar Mesir di negeri ini membuktikan pengiktirafan mereka terhadap negara kita yang banyak berjasa dalam memartabatkan agama Islam," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah universiti itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd Deli; Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), Mohd Shukor Sabudin dan wakil Universiti Al-Azhar, Prof Dr Umar Abdullah Kamil.

Pembinaan kampus di kawasan kira-kira tujuh hektar di Kilometer 35 Jalan Seremban-Tampin itu dibiayai sepenuhnya oleh YSNS dan untuk permulaan akan menawarkan bidang pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Syariah, Tahfiz al-Quran dan Qiraat. Menteri Besar berkata, penubuhan kampus cawangan ini bakal menjadi rujukan kepada permasalahan umat Islam di rantau ini selain melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam pada masa depan, ulama dan pemimpin ketrampilan ilmu, keperibadian dan pemikiran yang seiring dengan kemajuan dunia.


Katanya, kelulusan penubuhan kampus cawangan universiti itu juga menunjukkan universiti berkenaan menyahut cabaran beliau supaya membuat perubahan dengan mengambil kira perkembangan pendidikan global ketika melakukan lawatan di universiti itu tiga tahun lalu.


"Kerajaan negeri yakin walaupun kampus ini dikendalikan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ia akan membolehkan lebih ramai pelajar negara ini mengikuti pengajian di universiti terkenal dunia itu tanpa perlu ke Mesir, sekali gus mengurangkan pengaliran keluar wang negara dan pada masa sama membawa masuk wang asing dalam konteks pendidikan global.


"Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan kawasan barat negeri ini sebagai lembah ilmu melalui penubuhan lebih banyak pusat pengajian tinggi tempatan dan bertaraf antarabangsa," katanya.

copy from : http://yayasansofa.blogsome.com/2008/04/14/101/

0 comments: