Friday, July 24, 2009

Sebak

Sebak membacanya setelah turun sahaja dari pentas yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim. Ucapan ini adalah lahir dari ayahanda rektor KUIS; Dato' Haji Mohd. Adanan bin Isman. Hampir menitiskan air mata, kata-kata ucapan ini sungguh menyentuh perasaan dan benar-benar masuk ke dalam hati. Bagi pendapat saya kata ucapan ini sungguh bermakna dan ia merupakan kata penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua graduan yang telah berpenat-lelah belajar bersungguh-sungguh selama ini hanya untuk sehelai kertas pengiktirafan. Semoga segala ilmu yang kita gali di sini diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. InsyaAllah. Syabas saya ucapkan.

*****

GRADUAN


Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

"Hari ini Sabtu 18 Julai 2009 bersamaan 25 Rejab 1430H dengan izin dan inayah Allah S.W.T anda dianugerahkan ijazah/Diploma sebagai penyuluh kegelapan, berupaya untuk memilih yang fitrah, dan menolak kebatilan berpandukan wahyu.


Kenangilah dalam doamu kepada insan yang memungkinkan anda ke tahap ini biar serendah mana ia di sisimu. Saya amat bersyukur dan bangga dapat membimbing anda menjadi ilmuan berpersonaliti unggul lagi mulia dan minda kelas pertama. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.


Saya mohon keredhaan Allah atas pertemuan singkat penuh erti ini, hayatilah moto KUIS sebagai 'Pemangkin Tradisi Ilmu' untuk menjadi penyubur semangat kembara ilmu yang melaut tak bertepi, masa yang panjang penuh liku. Laluilah kembara ini dengan sabar, dedikasi dan jati diri yang kental, tidak akan lekang dek panas dan tidak akan lapuk dek hujan, dicampak ke laut menjadi pulau, di darat subur menjadi tanaman, bermanfaat kepada semua.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai talian pertolongan luhur mencapai cita-cita. Setinggi 'TAHNIAH' saya kalungkan dan kepada Allah diserahkan segala usaha dan impian. Amin."

*****

0 comments: