Sunday, July 05, 2009

JODOH

Bismillahi wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasoro wa walah.

Entry kali ini bagi memenuhi persoalan seorang sahabat saya yang masih keliru tentang soal jodoh, pasangan hidup dan jaminan masa depan. Apepun harapannya agar dia memperoleh manfaat darinya yang saya agak, saya sudah mengulangi perkara ini banyak kali, kepada adik-adik saya, sahabat-sahabat fillah even di dalam banyak blog sekalipun. Secara ringkasnya dapat saya nukilkan begini;



Bilamana kita perkatakan soal jodoh, kahwin... memang merupakan satu ibadah. Sehingga di dalam kitab Feqah telah mengkhususkan satu bab yang membincangkan perkara ini iaitu bab Munakahat. Maka keseluruhan bab ini bermula dari bab mencari jodoh; iaitu si lelaki mencari dan perempuan pun mencari, walaupun hakikat sebenarnya kuasa yang mencari itu lelaki tetapi kuasa yg menentukan itu terletak pada perempuan. Lelaki hanya mencari sahaja, kalau perempuan kata tidak, maka tidaklah. Stop.

Soal jodoh ini bila kita bicarakan, ia berkaitan dengan perkara yang sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa kerana manusia itu satu makhluk yang hidup dan matinya di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari persoalan perkahwinan ataupun penceraian.

Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Ayat ni semacam sudah biasa bermain dibibir masyarakat kita. Memang benar semua itu atas kehendak Allah yang tentukan, tetapi di antara keduanya itu terdapat sedikit perbezaan. Dari segi perlaksanaan untuk menentukan jodoh kita kena ikhtiar mencari, tetapi untuk menentukan maut kita kena ikhtiar untuk menjauhi. Itu dua perkara yg berbeza.

Kita tidak menafikan jodoh memang di tangan tuhan, tetapi apabila lahir sahaja seorang manusia contohnya bayi perempuan; jodohnya sudah ada, tapi kita tidak tahu siapa dia (melayu ke...mat saleh ke…cina ke…) dan di mana dia. Tapi kalau lahir seorang anak lelaki kita tidak tahu siapa jodoh dia lagi, kerana kebiasaannya lelaki lebih tua daripada perempuan. Maka akhir apabila bertemu jodoh di antara mereka, maka ia dinamakan ketentuan Allah s.w.t

Manusia yang berfikir adalah manusia yang menggunakan akalnya daripada anugerah Allah dengan sebaiknya utk menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Dalam soal jodoh ini, kita boleh memilih dan berikhtiar. Kalaulah tiada ikhtiar memilih maka tidak akan timbullah hadith nabi rasulullah s.a.w:

“Dinikahi perempuan itu kerana 4 perkara: Pertama, kerana hartanya. Kedua, kerana keturunannya. Ketiga, kerana kecantikannya. Keempat, kerana agamanya. Maka yang lebih utama adalah perempuan yang beragama, pasti engkau akan beruntung.”

Masalah di mana kita berjumpa, samada dalam negeri atau luar negeri, di tempat kerja atau di universiti atau di mana sahaja itu terserah kepada Allah s.w.t, tapi dalam hati kita ini mesti ada hasrat hendak mencari jodoh yang sesuai dengan saranan rasulullah s.a.w tadi. Tapi yang kita bimbangi adalah aspek-aspek itu yang kita selalu abaikan. Bila berjumpa sahaja, berkasih, bercinta dan bla..bla..bla...oh timbulnya kasih sayang, tidak boleh berpisah... lautan api pun sanggup aku renangi dan pelbagai lagi istilah-istilah yang hebat-hebat, tetapi apabila berkahwin 2-3 bulan, timbul masalah, yang dulu asalnya bertemu, berkahwin begitu meriah, tapi akhirnya bercerai.

Nak salahkan siapa sekarang? Jangan pernah nak salahkan takdir sebab perkara sebegini tidak akan berlaku jika tidak ia sendiri berpunca daripada kita.

Jodoh ini sukar untuk ditafsirkan, sebab ada bermacam-macam ragam dan gaya tersendiri.

Sebab itu kata rasulullah s.a.w: Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (riwayat Muslim)

Maksudnya, Nabi menggalakkan umatnya supaya mengutamakan memilih bakal isteri atas dasar agamanya, kerana dengan agama seseorang itu akan selamat dan bahagia kehidupannya di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sebab itu tujuan Islam menekankan memilih calon isteri yang beragama kerana jika seorang lelaki yang memilih bakal isteri yang solehah dan baik akan mendapat jaminan kebahagiaan yang hakiki di dalam rumahtangganya. Nabi bersabda lagi yang maksudnya:

“Sesungguhnya dunia ini adalah suatu tempat keseronokan dan sebaik-baik keseronokan itu ialah wanita yang solehah”

-(riwayat Muslim dan Nasa’i)

Begitu juga dengan kecantikan semata-mata boleh membawa kepada kemusnahan rumahtangga. Lagi pun kecantikan itu tidak akan berkekalan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama dalah lebih baik”


-(riwayat Ibnu Majah)

Jadi pilihan di tangan anda. Maka pilihlah yang terbaik buat diri anda sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Wallahu ta'ala 'alam. Sekian. Wassalam.



nur el-huda, Sunday, 5 July 09,
2.33am, D-G-4


0 comments: