Sunday, June 21, 2009
Suatu kehilangan (II)
Menyedari akan apa yang merunsingkan diri saya sejak kebelakangan ini, akhirnya saya menemuinya setelah beberapa lama termenung dan berfikir, berfikir dan berfikir. Ya, itulah penawar bagi hatiku ini iaitu ALLAH, Allahu Jalaalah. Cinta dan Kekasih yang saya lihat semakin menjauh. Bukan menafikan tanggungjawab saya kepadaNya, malah jauh sekali untuk mengkhianatiNya. Sembahyang yang 5 dan puasa Isnin dan Khamis itu alhamdulilah masih lagi saya amalkan, cuma saya merasakan seperti sesuatu kehilangan. Kehilangan yang entah saya sendiri tidak tahu. Buntu. Betapa kini saya sibuk bekerja dari pagi hingga ke petang dan malamnya hanya rehat. Komitmen hidup kini memaksa saya untuk lebih menghargai masa.
Ya inilah yang saya cari selama ini. Dalil yang betul-betul tepat untuk diriku. Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan demikian itu sahaja aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (al-An’am 162-163)
Mungkin saya sudah terlalu memberi muka kepada dunia. Tuntutan dunia ini jika dilayan, ia tidak akan habis. Sifatnya sentiasa mendambakan sesuatu yang tidak akan dapat dipuaskan. Penat dengan semua ini, barulah saya sedar, rupanya saya seakan sudah jauh dari Allah. Mulai lalai dengan tipuan dan godaan dunia.
Betapa dulu saya sangat rindukan Dia, mencintai Dia dengan setulus hati dan berasa bahagia kerana semuanya di dalam jagaan Dia. Saya rindukan saat-saat dan perasaan seperti itu. Ya Allah, jangan tinggalkan aku ya. Fikir lagi, mungkin ilmu-ilmu, sembahyang, zikir, mengaji al-Quran, solat-solat sunat dan puasa saya selama ini masih tidak mencukupi. Perlu digandakan lagi. Ya Allah, bantu aku dan luruskanlah hatiku ini.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".
riwayat at-Tarmizi dan ad-Darimi
Ya, memang seluruh kehidupan manusia ini hanya layak untuk Allah, tiada sesuatu pun yang tidak memerlukan kewujudan Allah dalam setiap perkara yang akhirnya semua akan kembali kepadaNya.
Jika kita menganggap bahawa wang, harta, anak, suami atau isteri, rumah mewah, kesihatan, kecantikan, kedudukan, pangkat sebagai satu noktah berjayanya dalam mencapai kebahagiaan hidup, barangkali kita telah silap besar. Bahkan semua itu tadi merupakan fitnah yang paling besar dalam kehidupan seorang manusia sebagai khalifah Allah. Materi bukan sebab utama menjanjikan kebahagiaan hidup dalam diri seseorang. Lihat sahaja berapa ramai manusia kaya yang mati dengan membunuh diri. Puncanya apa? Kerana kosongnya jiwa mereka dari mengenal dan mengingati Allah. Roh jiwa yang dibiarkan kelaparan dari diberi santapan rohani sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Sebab itu ia meronta-ronta mencari Allah sebagai penawarnya. Kerana dari Allah itu juga roh itu ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh kerana itu, berpegang teguhlah dengan tali Allah.
Saya akan sentiasa mengingatkan diri saya kini dan pada masa hadapan tentang hal ini. InsyaAllah. Semoga saya tidak lalai dan tertipu dengan segala macam habuan dunia. Juga untuk sahabat-sahabat, diri kita ini adalah mutlak milik Allah, penuhinya rohani dan jasmani dengan sebaik-baik amalan. 3 bulan untuk penyucian diri sudah hampir tiba. Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Tak sabar rasanya untuk menguji dan mencabar diri ini. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan petunjuk buat kita semua untuk mencapai kebahagiaan, kegembiraan dan keredhaan di dunia dan di akhirat.
nur el-huda, Saturday, 17 Mei 09,
16.57pm, D-G-4
Posted by
nur el-huda
at
12:21
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment