Wednesday, December 09, 2009

Nilai Gurauan VS Nilai Persaudaraan


Ketawa memang seronok. tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati. Hakikatnya, itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan – mentertawakan orang lain.

Kta mungkin sekadar main-main, kata orang menyakat. Tapi, siapa tahu apa yang dirasai ‘watak utama’ kisah gurauan tersebut?

Mungkin tak kisah, mungkin marah, mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa.

Gurauan yang dianggap sekadar main-main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan, pertengkaran, tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim. Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata-kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah?

Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda: “Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang Surayya.“


Tuesday, November 17, 2009

Bantahan Kaum Wanita


Situasi :


“Eleh, hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya dibunuh dan dijerut dengan tudungnya, kanak-kanak juga tidak terkecuali. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat. Haa... macam mana nak jawab ni?“


Hujah balas yang selalu didengar bila isu ini ditimbulkan:

  • “Pernah atau tidak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda?. Apakah kaitannya dengan soalan ini?“.

  • “Biasanya apabila seseorang itu sedang marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya. Sebagai contoh; ada orang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang dikeluarkan oleh akhbar bar-baru ini), ditolak hingga jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa ketika baru dia sedar, lalu cemas dan menyesal.“

  • Demikianlah juga nafsu jahat, bila ia berada di kemuncaknya, ia tidak lagi melihat kepada pakaian, umur mahupun status perkahwinan orang dihadapannya, sasarannya ialah memenuhi hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman web, akhbar, majalah dan novel lucah.

“Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita daripada disakiti?“


  • “Jika kita melihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian yang dilarang agama, ketika itu faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita daripada disakiti secara umum akan tergugat daripada mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu hendak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggungjawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing.“

  • “Maka bila ada seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenis anda yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki yang sedang tidur.“

  • Itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, WANITA dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT : “Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta...“ (Ali-Imran : 14). Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita.

  • Nabi SAW juga pernah bersabda: Ertinya: “Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudharat kepada lelaki selain wanita.“

    (Riwayat Bukhari, 7/11, bab Zikir dan Doa)


Anda pula bagaimana? Setuju?




Wednesday, October 21, 2009

Apakah anda...? Muhasabah harian bagi setiap Muslim


  • Apakah anda setiap hari selalu solat Subuh berjemaah di masjid? (bagi lelaki)
  • Apakah anda selalu menjaga solat yang 5 waktu berjemaah di masjid? (bagi lelaki)
  • Apakah anda hari ini membaca al-Quran?
  • Apakah anda berzikir setelah selesai melaksanakan solat wajib?
  • Apakah anda hari ini khusyu’ dalam solat, menghayati apa yang anda baca?
  • Apakah anda hari ini mengingati mati dan kubur?
  • Apakah anda hari ini mengingati hari Kiamat, segala peristiwa dan kedahsyatannya?
  • Apakah anda telah memohon kepada Allah sebanyak 3 kali agar dimasukkan ke dalam syurga?
  • Apakah anda telah meminta kepada Allah sebanyak 3 kali agar diselamatkan dari api neraka?
  • Apakah anda pernah berfikir untuk menjauhi teman-teman yang tidak baik?
  • Apakah anda telah berusaha untuk menghindari banyak tertawa dan bergurau?
  • Apakah anda hari ini menangis kerana takut kepada Allah?
  • Apakah anda selalu berzikir pagi dan petang?
  • Apakah anda hari ini memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang telah anda perbuat?
  • Apakah anda telah memohon kepada Allah dengan benar untuk mati syahid? Kerana Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang memohon kepada Allah dengan benar untuk mati syahid, maka Allah akan memberikan kedudukan sebagai syuhada meskipun ia meninggal di atas tempat tidurnya.“ (Riwayat Imam Muslim)
  • Apakah anda telah berdoa kepada Allah agar Dia menetapkan hati anda di atas agamaNya?
  • Apakah anda telah membeli buku-buku Islam untuk memahami Islam?
  • Apakah anda telah memuji Allah dan bersyukur kepadaNya atas nikmat mata, telinga, hati dan segala nikmat lainnya?
  • Apakah hari ini anda telah bersedekah kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan?
  • Apakah anda dapat menahan amarah yang disebabkan kerana urusan peribadi dan berusaha untuk marah kerana Allah semata?
  • Apakah anda telah berusaha untuk selalu menjauhkan diri dari sikap sombong dan riya’?
  • Apakah anda telah mengunjungi saudara-saudara seiman dan seagama dengan ikhlas?
  • Apakah anda telah berdakwah untuk keluarga, saudara mara, tetangga dan siapa sahaja yang ada hubungannya dengan diri anda?
  • Apakah anda termasuk orang yang berbakti kepada orang tua?
  • Apakah anda selalu mengucapkan Inna Lillaahi wa Inna Ilaihi Rasji’uun –Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami kembali kepadaNya“ jika anda mendapat musibah dari Allah? Kerana Rasulullah s.a.w bersabda: “Hendaklah masing-masing kalian melakukan istirja’ (mengucapkan Inna Lillaahi wa Inna Ilaihi Rasji’uun) pada setiap hal meskipun ketika tali kasut putus kerana hal itu termasuk musibah.“
  • Apakah anda telah membersihkan hati dari sombong, riya’, hasad dan dengki?
  • Apakah anda telah membersihkan lisan anda dari perkataan dusta, mengumpat, batu api, berdebat yang sia-sia dan berbuat serta berkata yang tidak ada manfaatnya?
  • Apakah anda selalu bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya setiap waktu atas segala dosa dan kesalahan?

Tepuk dada tanya Iman. Di manakah anda sebenarnya?



nur el-huda, KUIS,
taken from Buletin Usrah KUIS


Friday, September 18, 2009

Syawal 1430H



Setelah hampir sebulan memenuhi tuntutan sebagai seorang hamba, tidak sia-sia manusia itu diberi anugerah setimpal dengan amalan ibadah yang diamanahkan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Penyayang. Syawal itu sendiri sebagai hadiah teragung bagi umat Islam merayakan kemenangan dan menyatakan kesyukuran serta kegembiraan atas segala rezeki yang dikurniakan.

Lalu, di sebalik tersirat Syawal itu punya lagi kelebihan yang mana Allah janjikan bagi hambaNya yang terus menagih keampunan, keredhaan dan kasih sayangNya.

Daripada Abu Ayub r.a bahawa Rasulllah s.a.w bersabda; "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti berpuasa setahun."

Selamat menyambut Syawal al-Mubarak 1430H. Semoga is terus menjadi pemangkin buat kita semua ke arah yang lebih baik. Taqabballahu minna waminkum, taqabbal yaa kareem...





Friday, August 21, 2009

Ahlan Ya Ramadhan...


Akhirnya Ramadhan yang kurindui tiba jua. Terima kasih Ya Allah kerana masih memberikan kesempatan ini buat aku untuk terus menagih keampunan, kasih sayang dan sebaik-sebaik kehidupan di dunia ini dan di akhirat kelak.

" Bahawa sesungguhnya bulan Rejab itu adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa. Bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada Ramadhan itu adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa."

Rasulullah bersabda:

من قام الرمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه



Maksudnya: Barangsiapa yang mendirikan malam-malam Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadith muttafaqun 'alaih)

Salam Ramadhan Kareem. Moga kesempatan ini memberi kita seribu makna yang benar-benar bermanfaat. Amiin.

Monday, August 03, 2009

Anak tak sah taraf. Bagaimana definisi anda?

Sudah tentunya bukan saya yang selayaknya untuk membincangkan perkara ini secara lebih terperinci. Namun saya agak terkesan untuk turut sama menyelami isu ini dan menyatakan pendapat walaupun ia bukan dalam bidang saya. Maafkan saya jika terdapat kekhilafan dalam memperkatakan perkara ini.

InsyaAllah biiznillah. Bismillah. Sepanjang pengkajian saya terhadap masalah ini, ada saya ambil beberapa rujukan sebagai panduan. Adapun tulisan ini hanyalah sekadar perbahasan dari segi luarannya, tidak secara detail, menyeluruh mahupun penghuraian kepada topik.

Isu Anak Tak Sah Taraf mengikut hukum syarak. Penyelesaian sesuatu masalah sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama serta pembangunan insan dan pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.

Suka saya ingatkan, isu hamil di luar nikah dan anak tak sah taraf bukanlah isu baru dlm masyarakat, malah ia seperti sudah melazimi tindak sosial kehidupan masyarakat kini.


Kewujudan anak dalam keluarga merupakan sesuatu yang sangat bererti. Anak memiliki erti yang berbeza-beza bagi setiap orang. Anak merupakan penyambung keturunan, sebagai modal pada masa hadapan, dan anak merupakan harapan untuk menjadi sandaran kita di kala usia tua.


Anak adalah lambang penerus dan lambang keabadian. Anak mewarisi tanda-tanda kesamaan dengan orang tuanya, termasuk ciri khas, baik mahupun buruk, tinggi mahupun rendah. Anak adalah belahan jiwa dan secebis dari kedua ibu bapanya.

Begitu pentingnya kewujudan anak dalam kehidupan manusia, maka Allah s.w.t mensyariatkan adanya perkahwinan. Pensyariatan perkahwinan memiliki tujuan antara lain untuk berketurunan (memiliki anak) yang baik, memelihara nasab, menghindarkan diri dari penyakit dan menciptakan keluarga yang bahagia.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surat al-Rum ayat 21:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang-orang yang berfikir.


Oleh kerana itu agama Islam melarang perzinaan. Hukum Islam memberi gambaran yang berat terhadap perbuatan zina. Kerana zina dapat mengakibatkan ketidakjelasan keturunan. Sehingga ketika lahir anak sebagai akibat dari perbuatan zina, maka akan ada keraguan tentang siapa bapanya. Dengan adanya perkahwinan setiap anak yang lahir dari tempat tidur suami, mutlak menjadi anak dari suami itu, tanpa memerlukan pengakuannya darinya.

Hal ini diungkapkan dalam al-Qur’an surat al-Isra’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk”.

Hadith nabi, dari Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah s.a.w bersabda :

“Anak itu adalah untuk pemilik tilam dan bagi penzina hukum baginya adalah rejam”




Pergaulan bebas antara muda-mudi yang banyak terjadi sekarang ini, seringkali membawa kepada hal-hal yang negatif yang tidak diingini, seperti hubungan seks luar nikah dan hamil luar nikah. Hal ini disebabkan oleh adanya penyalahan budaya, sehingga pada saat ini ia seperti menjadi satu gaya dalam hidup iaitu bersamanya antara seorang lelaki dan wanita tanpa ikatan perkahwinan. Anak yang lahir di luar nikah ini pula akan mendapat gelaran dalam masyarakat sebagai anak haram. Hal ini memberikan gangguan psikologi kepada anak tersebut, walaupun secara hukum anak tersebut tidak berdosa akibat dari perbuatan orang tuanya Namun banyak persoalan yang akan muncul akibat hamil luar nikah ini, seperti hubungan nasab antara anak dengan bapak biologinya, dan lain sebagainya dari berbagai perspektif hukum.

Lalu apa hukum membinkan anak luar nikah dengan si pelaku?

Hukum asal anak luar nikah hendaklah dibinkan kepada ibunya. Ini berdasarkan kepada maksud sabda Rasulullah s.a.w:

"Anak (luar nikah) itu adalah hak ibunya dan bagi bapa (penzina) adalah batu sahaja. (rejam)"

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 28-29 Januari 1981 adalah seperti berikut:

"Anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ".


Sebagai contoh dalam permasalahan anak angkat juga tidak di binkan dengan bapa angkatnya tetapi dengan nama bapa kandungnya. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Barang siapa menisbahkan dirinya kepada selain ayah kandungnya padahal ia mengetahui bahwa itu bukanlah ayah kandungnya, maka diharamkan baginya syurga”.

Dalam hadis di atas dijelaskan bahawa, seseorang tidak boleh menasabkan dirinya kepada selain ayah kandunganya, apabila ia tahu siapa ayahnya.

Orang tidak boleh masuk syurga adalah orang yang berdosa. Jadi apabila seseorang menasabkan dirinya kepada selain ayah kandungnya, sedangkan dia tahu bahawa itu bukan ayahnya maka dia termasuk orang yang berdosa.

Istilah nasab secara bahasa diertikan dengan kerabat, keturunan atau menetapkan keturanan nasab adalah keturunan ahli waris atau keluarga yang berhak warisan kerana adanya pertalian darah atau keturunan.

Jadi jika tiada terdapat sebarang nasab di antara anak zina dan bapa zinanya itu, maka tidak berlaku sebarang tuntutan di antara keduannya dalam segala hal.

Ulama sepakat bahawa nasab seseorang kepada ibunya terjadi disebabkan kerana kehamilan, disebabkan kerana adanya hubungan seksual yang dilakukan dengan seorang lelaki, baik hubungan itu dilakukan berdasarkan akad nikah mahupun melalui perzinaan.


Bagaimana pula status anak luar nikah Menurut Hukum Islam?


Mengenai status anak luar nikah, para ulama sepakat bahawa anak itu tetap punya hubungan nasab dengan ibunya dan keluarga ibunya. Tanggung jawab atas segala keperluannya, baik material mahupun spiritual adalah ibunya dan keluarga ibunya. Demikian pulanya dengan hak waris-mewaris.

Adapun status anak luar nikah disamakan statusnya dengan anak zina. Oleh itu maka mempunyai akibat hukum seperti berikut:

(a) tidak ada hubungan nasab dengan bapaknya. Anak itu hanya mempunyai hubungan nasab dengan ibunya. Bapanya tidak wajib memberikan nafkah kepada anak itu, namun secara biologi ia tetap anaknya. Jadi hubungan yang timbul hanyalah secara manusiawi, bukan secara hukum.

(b) tidak ada saling mewaris dengan bapanya, kerana hubungan nasab merupakan salah satu penyebab waris-mewaris.

(c) bapa tidak boleh menjadi wali bagi anak diluar nikah. Apabila anak luar nikah itu kebetulan seorang perempuan dan sudah dewasa lalu dia hendak bernikah, maka ia tidak berhak dinikahkan oleh bapa biologinya.


Setakat ini dulu yang dapat saya bincangkan. Waallahu ‘alam. Semoga perkongsian secebis ini menjadi manfaat buat kalian.



sumber:
http://www.uinsuska.info


Monday, July 27, 2009

Dedicate


Alhamdulillah, syukur yang tertinggi hanya pada Allah dan segala puji-pujian selayaknya juga hanya untuk Allah. Terima kasih Tuhan atas kurniaanMu ini. Kumohon agar Kau redhai dan rahmati diriku, ilmu-ilmuku agar ia menjadi manfaat buat semua. Juga Kau beri sedikit kesempatan keseronokan di dunia ini buat diriku untuk merasainya (Konvokesyen KUIS kali ke-12) dan untuk lebih mengenaliMu. Betapa tandusnya hati dan jiwaku jika tanpa ilmu dariMu. Lalu Kau campakkan aku di sini (KUIS). Pengorbanan dan susah payah belajar selama ini terasa sedikit ’berbayar’. Alhamdulillah.


Di kesempatan ini, ingin saya nukilkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih terutama buat mak dan ayah yang selama ini menjadi penguat semangat, adik beradik yang banyak memberi sokongan, ustaz-ustazah yang tidak jemu memberikan curahan ilmu dan tunjuk ajar, sahabat-sahabat fillah yang dikasihi serta semua samada yang terlibat secara langsung atau tidak. Syukran jazakaAllahu khairan kathira. Semoga Allah sentiasa merahmati dan membalas jasa kalian dengan sebaik-baik kebaikan. InsyaAllah.


- the convocation -
Date: 18 July 2009
Day : Saturday
Location: KUIS, Bangi Bandar Ilmu



Friday, July 24, 2009

Sebak

Sebak membacanya setelah turun sahaja dari pentas yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid bin Ibrahim. Ucapan ini adalah lahir dari ayahanda rektor KUIS; Dato' Haji Mohd. Adanan bin Isman. Hampir menitiskan air mata, kata-kata ucapan ini sungguh menyentuh perasaan dan benar-benar masuk ke dalam hati. Bagi pendapat saya kata ucapan ini sungguh bermakna dan ia merupakan kata penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua graduan yang telah berpenat-lelah belajar bersungguh-sungguh selama ini hanya untuk sehelai kertas pengiktirafan. Semoga segala ilmu yang kita gali di sini diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. InsyaAllah. Syabas saya ucapkan.

*****

GRADUAN


Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

"Hari ini Sabtu 18 Julai 2009 bersamaan 25 Rejab 1430H dengan izin dan inayah Allah S.W.T anda dianugerahkan ijazah/Diploma sebagai penyuluh kegelapan, berupaya untuk memilih yang fitrah, dan menolak kebatilan berpandukan wahyu.


Kenangilah dalam doamu kepada insan yang memungkinkan anda ke tahap ini biar serendah mana ia di sisimu. Saya amat bersyukur dan bangga dapat membimbing anda menjadi ilmuan berpersonaliti unggul lagi mulia dan minda kelas pertama. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.


Saya mohon keredhaan Allah atas pertemuan singkat penuh erti ini, hayatilah moto KUIS sebagai 'Pemangkin Tradisi Ilmu' untuk menjadi penyubur semangat kembara ilmu yang melaut tak bertepi, masa yang panjang penuh liku. Laluilah kembara ini dengan sabar, dedikasi dan jati diri yang kental, tidak akan lekang dek panas dan tidak akan lapuk dek hujan, dicampak ke laut menjadi pulau, di darat subur menjadi tanaman, bermanfaat kepada semua.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai talian pertolongan luhur mencapai cita-cita. Setinggi 'TAHNIAH' saya kalungkan dan kepada Allah diserahkan segala usaha dan impian. Amin."

*****

Wednesday, July 22, 2009

LAGU RASMI KUIS


- klik untuk imej lebih jelas -


Ini merupakan lagu rasmi bagi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Lagu ini telah diilham cipta sendiri oleh ayahanda Dato' Haji Mohd Adanan bin Isman -Rektor KUIS. Lagu ini telah selamat dilancarkan dengan rasmi sempena Ekstival Konvo kali ke-12 pada 16 Julai 2009. Ekstival ini telah berlangsung selama 3 hari bagi meraikan para graduan KUIS yang tarikhnya jatuh pada 18 Julai 2009, di mana ia merupakan hari paling bahagia buat mahasiswa-mahasiswi KUIS yang telah selamat menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing -termasuk saya. =)

Alhamdulillah syukur yang tertinggi kepada Allah s.w.t kerana memberikan kesempatan yang seketika ini buat saya dan sahabat-sahabat untuk merasainya. Yang bangganya kerana saya merupakan batch yang pertama yang menyanyikan lagu ini selepas ia dilancarkan.

Terima kasih buat KUIS dan seluruh warganya.


Monday, July 20, 2009

Israk dan Mikraj –satu penghijrahan.


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.“

(surah al-Isra' ayat 1)

Mengingati peristiwa paling penting dalam sejarah umat Islam –Israk wal Mikraj banyak memberikan inspirasi paling berguna kepada umat Muhammad s.a.w. Israknya Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin membawa seribu satu perasaan yang tidak terbendungkan oleh baginda Rasulullah. Kemudian di-Mikrajkan pula merentasi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua ini berlaku atas izin Allah s.w.t dalam satu malam sahaja.

Baginda ketika itu tidak punya siapa-siapa di sisinya sebagai penguat semangat setelah kewafatan isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Keseorangan melalui saat-saat getir, kesusahan dan cercaan dalam dakwah terhadap bangsanya sendiri –kaum Musyrikin Jahiliyyah yang tetap tegar dengan fahaman nenek moyang mereka. Ternyata semua kejadian itu tidak sia-sia apabila belas dan kasih sayang Allah datang menjemput baginda dengan anugerah penuh agung iaitu wahyu yang diturunkan terus kepada baginda.

Salah satunya yang menjadi polemik dalam wahyu ini adalah ibadah solat yang disyariatkan merupakan titik tolak permulaan kehidupan seseorang manusia. Memandang ringan ibadah solat ini ibarat mengundang murka dari Allah s.w.t. Kerana di situlah (Solat) segala jiwa yang kosong keresahan, kebuntuan, masalah berat yang tidak tertanggungkan, kekecewaan yang tidak terbendungkan dan kemarahan terhadap manusia semuanya dihamburkan dan dilepaskan di hadapan Allah Ta’ala dalam tiap sujud penuh pengharapan, mengadu dengan penuh sendu, kerana kepada Allah-lah tempat sebaik-baik pengembalian. Sesungguhnya Allah benar yang Maha Mengetahui, yang memegang hati-hati kami dan yang menguasai segala-galanya.

Lalu kita ini sebagai umat akhir zaman tidak layak untuk memandang enteng perkara-perkara sebegini. Umat yang Allah jadikan kehidupannya penuh berpengetahuan, berilmu dan mampu mencipta pelbagai teknologi canggih sepatutnya lebih hampir untuk mengenal Allah dengan penerokaan alam kosmos dan astronomi sekaligus mempercayai perkara-perkara ghaib, tanggungjawab sebagai muslim sejati yang mukmin dan bertaqwa selain mengenang al-Aqsa yang dirampas Yahudi laknatullah.

Wajarnya 27 Rejab ini menjadi mainan kita difikiran, dan bukannya perkara-perkara lagha (yang melalaikan) yang menjadi tajuk utama kita dalam kehidupan. Wallahu Ta’ala a’lam, semoga Allah menerima segala amalan baik dari kita semua.


nur el-huda, 20 Julai 09 (27 Rejab 1430H)
D-G-4

Sunday, July 05, 2009

JODOH

Bismillahi wal hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala alihi wa ashabihi wa man nasoro wa walah.

Entry kali ini bagi memenuhi persoalan seorang sahabat saya yang masih keliru tentang soal jodoh, pasangan hidup dan jaminan masa depan. Apepun harapannya agar dia memperoleh manfaat darinya yang saya agak, saya sudah mengulangi perkara ini banyak kali, kepada adik-adik saya, sahabat-sahabat fillah even di dalam banyak blog sekalipun. Secara ringkasnya dapat saya nukilkan begini;



Bilamana kita perkatakan soal jodoh, kahwin... memang merupakan satu ibadah. Sehingga di dalam kitab Feqah telah mengkhususkan satu bab yang membincangkan perkara ini iaitu bab Munakahat. Maka keseluruhan bab ini bermula dari bab mencari jodoh; iaitu si lelaki mencari dan perempuan pun mencari, walaupun hakikat sebenarnya kuasa yang mencari itu lelaki tetapi kuasa yg menentukan itu terletak pada perempuan. Lelaki hanya mencari sahaja, kalau perempuan kata tidak, maka tidaklah. Stop.

Soal jodoh ini bila kita bicarakan, ia berkaitan dengan perkara yang sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa kerana manusia itu satu makhluk yang hidup dan matinya di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari persoalan perkahwinan ataupun penceraian.

Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Ayat ni semacam sudah biasa bermain dibibir masyarakat kita. Memang benar semua itu atas kehendak Allah yang tentukan, tetapi di antara keduanya itu terdapat sedikit perbezaan. Dari segi perlaksanaan untuk menentukan jodoh kita kena ikhtiar mencari, tetapi untuk menentukan maut kita kena ikhtiar untuk menjauhi. Itu dua perkara yg berbeza.

Kita tidak menafikan jodoh memang di tangan tuhan, tetapi apabila lahir sahaja seorang manusia contohnya bayi perempuan; jodohnya sudah ada, tapi kita tidak tahu siapa dia (melayu ke...mat saleh ke…cina ke…) dan di mana dia. Tapi kalau lahir seorang anak lelaki kita tidak tahu siapa jodoh dia lagi, kerana kebiasaannya lelaki lebih tua daripada perempuan. Maka akhir apabila bertemu jodoh di antara mereka, maka ia dinamakan ketentuan Allah s.w.t

Manusia yang berfikir adalah manusia yang menggunakan akalnya daripada anugerah Allah dengan sebaiknya utk menjadikan kehidupan mereka lebih baik. Dalam soal jodoh ini, kita boleh memilih dan berikhtiar. Kalaulah tiada ikhtiar memilih maka tidak akan timbullah hadith nabi rasulullah s.a.w:

“Dinikahi perempuan itu kerana 4 perkara: Pertama, kerana hartanya. Kedua, kerana keturunannya. Ketiga, kerana kecantikannya. Keempat, kerana agamanya. Maka yang lebih utama adalah perempuan yang beragama, pasti engkau akan beruntung.”

Masalah di mana kita berjumpa, samada dalam negeri atau luar negeri, di tempat kerja atau di universiti atau di mana sahaja itu terserah kepada Allah s.w.t, tapi dalam hati kita ini mesti ada hasrat hendak mencari jodoh yang sesuai dengan saranan rasulullah s.a.w tadi. Tapi yang kita bimbangi adalah aspek-aspek itu yang kita selalu abaikan. Bila berjumpa sahaja, berkasih, bercinta dan bla..bla..bla...oh timbulnya kasih sayang, tidak boleh berpisah... lautan api pun sanggup aku renangi dan pelbagai lagi istilah-istilah yang hebat-hebat, tetapi apabila berkahwin 2-3 bulan, timbul masalah, yang dulu asalnya bertemu, berkahwin begitu meriah, tapi akhirnya bercerai.

Nak salahkan siapa sekarang? Jangan pernah nak salahkan takdir sebab perkara sebegini tidak akan berlaku jika tidak ia sendiri berpunca daripada kita.

Jodoh ini sukar untuk ditafsirkan, sebab ada bermacam-macam ragam dan gaya tersendiri.

Sebab itu kata rasulullah s.a.w: Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (riwayat Muslim)

Maksudnya, Nabi menggalakkan umatnya supaya mengutamakan memilih bakal isteri atas dasar agamanya, kerana dengan agama seseorang itu akan selamat dan bahagia kehidupannya di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sebab itu tujuan Islam menekankan memilih calon isteri yang beragama kerana jika seorang lelaki yang memilih bakal isteri yang solehah dan baik akan mendapat jaminan kebahagiaan yang hakiki di dalam rumahtangganya. Nabi bersabda lagi yang maksudnya:

“Sesungguhnya dunia ini adalah suatu tempat keseronokan dan sebaik-baik keseronokan itu ialah wanita yang solehah”

-(riwayat Muslim dan Nasa’i)

Begitu juga dengan kecantikan semata-mata boleh membawa kepada kemusnahan rumahtangga. Lagi pun kecantikan itu tidak akan berkekalan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama dalah lebih baik”


-(riwayat Ibnu Majah)

Jadi pilihan di tangan anda. Maka pilihlah yang terbaik buat diri anda sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Wallahu ta'ala 'alam. Sekian. Wassalam.



nur el-huda, Sunday, 5 July 09,
2.33am, D-G-4


Sunday, June 21, 2009

Suatu kehilangan (II)



Menyedari akan apa yang merunsingkan diri saya sejak kebelakangan ini, akhirnya saya menemuinya setelah beberapa lama termenung dan berfikir, berfikir dan berfikir. Ya, itulah penawar bagi hatiku ini iaitu ALLAH, Allahu Jalaalah. Cinta dan Kekasih yang saya lihat semakin menjauh. Bukan menafikan tanggungjawab saya kepadaNya, malah jauh sekali untuk mengkhianatiNya. Sembahyang yang 5 dan puasa Isnin dan Khamis itu alhamdulilah masih lagi saya amalkan, cuma saya merasakan seperti sesuatu kehilangan. Kehilangan yang entah saya sendiri tidak tahu. Buntu. Betapa kini saya sibuk bekerja dari pagi hingga ke petang dan malamnya hanya rehat. Komitmen hidup kini memaksa saya untuk lebih menghargai masa.

Ya inilah yang saya cari selama ini. Dalil yang betul-betul tepat untuk diriku. Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan demikian itu sahaja aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (al-An’am 162-163)

Mungkin saya sudah terlalu memberi muka kepada dunia. Tuntutan dunia ini jika dilayan, ia tidak akan habis. Sifatnya sentiasa mendambakan sesuatu yang tidak akan dapat dipuaskan. Penat dengan semua ini, barulah saya sedar, rupanya saya seakan sudah jauh dari Allah. Mulai lalai dengan tipuan dan godaan dunia.

Betapa dulu saya sangat rindukan Dia, mencintai Dia dengan setulus hati dan berasa bahagia kerana semuanya di dalam jagaan Dia. Saya rindukan saat-saat dan perasaan seperti itu. Ya Allah, jangan tinggalkan aku ya. Fikir lagi, mungkin ilmu-ilmu, sembahyang, zikir, mengaji al-Quran, solat-solat sunat dan puasa saya selama ini masih tidak mencukupi. Perlu digandakan lagi. Ya Allah, bantu aku dan luruskanlah hatiku ini.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".

riwayat at-Tarmizi dan ad-Darimi

Ya, memang seluruh kehidupan manusia ini hanya layak untuk Allah, tiada sesuatu pun yang tidak memerlukan kewujudan Allah dalam setiap perkara yang akhirnya semua akan kembali kepadaNya.



Jika kita menganggap bahawa wang, harta, anak, suami atau isteri, rumah mewah, kesihatan, kecantikan, kedudukan, pangkat sebagai satu noktah berjayanya dalam mencapai kebahagiaan hidup, barangkali kita telah silap besar. Bahkan semua itu tadi merupakan fitnah yang paling besar dalam kehidupan seorang manusia sebagai khalifah Allah. Materi bukan sebab utama menjanjikan kebahagiaan hidup dalam diri seseorang. Lihat sahaja berapa ramai manusia kaya yang mati dengan membunuh diri. Puncanya apa? Kerana kosongnya jiwa mereka dari mengenal dan mengingati Allah. Roh jiwa yang dibiarkan kelaparan dari diberi santapan rohani sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Sebab itu ia meronta-ronta mencari Allah sebagai penawarnya. Kerana dari Allah itu juga roh itu ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh kerana itu, berpegang teguhlah dengan tali Allah.

Saya akan sentiasa mengingatkan diri saya kini dan pada masa hadapan tentang hal ini. InsyaAllah. Semoga saya tidak lalai dan tertipu dengan segala macam habuan dunia. Juga untuk sahabat-sahabat, diri kita ini adalah mutlak milik Allah, penuhinya rohani dan jasmani dengan sebaik-baik amalan. 3 bulan untuk penyucian diri sudah hampir tiba. Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Tak sabar rasanya untuk menguji dan mencabar diri ini. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan petunjuk buat kita semua untuk mencapai kebahagiaan, kegembiraan dan keredhaan di dunia dan di akhirat.



nur el-huda, Saturday, 17 Mei 09,
16.57pm, D-G-4

Tuesday, June 09, 2009

Penatnya lain... suatu kehilangan (I)

Menjalani hari-hari bekerja memang meletihkan. Baru sekarang saya dapat rasakan, setelah hampir 7 bulan bergelar pekerja. Jauh beza keadaannya jika hendak dibandingkan dengan saya dahulu semasa belajar. Penatnya lain.




Kalau dulu semasa belajar hanya penat badan ke kelas, menghadiri seminar-seminar atau perjumpaan dan letih otak berfikir tentang study, sesekali ada juga masa berjumpa kawan-kawan lama, bermain-main, lepak-lepak dan ada juga masa senggang untuk menyelit-nyelit. Tetapi kini, melakukan semua perkara itu bagaikan tiada langsung. Saya cuba juga untuk meluangkan mana yang termampu, tetapi masa seperti sangat singkat. Tidak sempat untuk berbuat apa-apa, sekejap sahaja sudah akhir bulan, sudah masuk bulan ini, dan ini. Sekejap sahaja sudah malam, dan hari saya habiskan hanya duduk di meja bekerja. Malam hanyalah untuk rehat dan tidur, bersedia pula mental dan fizikal untuk pagi esoknya. Kadang-kadang saya terpaksa ‘curi-curi waktu’ menggunakan masa rehat diri sendiri untuk memenuhi perkara lain. Dan saya bersiap sedialah untuk ngantuk dan tidak bermaya di tempat kerja esoknya.


Adakala masanya saya outstation kerja ke tempat lain, atau mendapat tugas luar dalam 2-3 hari, fuhh, mengenangkan betapa penatnya dalam satu hari itu telah membuatkan saya terlalu letih sehinggakan tidak boleh tidur pada malam tersebut. Betapa saya fikirkan, mungkin inilah perasaan dan keadaan ibubapa saya dan orang yang bekerja. Ini belum memikirkan tentang komitmen lain seperti bayar bil telefon, sewa rumah, kereta, dan keperluan lainnya. Saya dapat rasakan beratnya menggalas tanggungjawab ini. Semoga Allah memudahkan segala urusan saya pada masa hadapan.


Yang benarnya saya ingin katakan ini setelah puas memuhasabah diri memikirkan perkara yang berpusing-pusing berserabut di kepala saya. Melihat kembali diri saya dahulu dengan sekarang. Apakah yang saya cari sebenarnya di kehidupan ini? Kemewahan? Keseronokan? Duit? Kebebasan? Nyata diri dan hati perasaan saya tidak senang dengan semua yang saya nyatakan tadi. Sepertinya ada sesuatu yang hilang. Terasa dan terkesan sangat dalam tindak kehidupan saya kini. Pasangan hidup? Tidak.... jauh sekali. Maka,


Pimpin aku Ya Allah menjalani hidup ini



Monday, June 01, 2009

berkenaan Hadith


Bismillah. Alhamdulillah syukur segala pujian hanya layak pada Allah, yang masih memberikan nikmat kehidupan ini kepadaku, semoga Engkau Ya Allah mengekalkan dan menambahkan rasa kecintaanku padaMu. Amiin.


Di bawah ini merupakan jawapan saya kepada soalan seorang sahabat saya kira-kira 3 tahun lepas. Sengaja saya postingkan di sini agar ia boleh menjadi manfaat lagi berguna kepada kalian semua. Mungkin sebahagian daripada kalian telah sedia-tahu tentang ini dan mungkin ada yang belum mengetahuinya. Saya fikir ia mungkin telah menjadi suatu nota ringkas. Soalan itu ialah; 1) Boleh tak hadith Ahad dan hadith mutawatir menjadi hadith sahih?


  1. Hadith Ahad boleh menjadi sahih tapi mesti memenuhi syarat sah periwayatan.
  2. Hadith mutawatir juga boleh menjadi hadith sahih jika memenuhi syarat2 sah hadith sahih.

Syarat Mutawatir ialah:

- seseorg bertemu dan dengar dari guru dengan telinganya sendiri

- diriwayatkn oleh ramai

- seimbang jumlah perawi antara tabaqat iaitu (sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in)


Hadith Ahad :

  • hadith yang tidak mencapai jumlah perawi seperti perawi hadith mutawatir
  • tidak seimbang jumlah perawi antara tabaqat.
  • Ahad : i. Masyhur (3)

ii. Aziz (2)

iii. Gharib (1)


Syarat sahih :

- perawi yang meriwayatkan itu adil

- perawi itu punya sifat dhabit (tepat dlm meriwayat)

- sanadnya sampai kpd Rasulullah

- tak punya kecacatan yang diketahui

- tak janggal dari segi sanad dan matan


1. Hadith dhaif boleh jadi hasan, itu pun hadith hasan lighairih shj. Sekiranya ia mempunyai

pembantu atau kecacatan yang tak keterlaluan.

- Contoh hadith dhaif yg diangkat darjat ke hadith hasan :

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi :

“adalah menjadi hak (tgjwb) bg org2 Islam utk mandi pd hari Jumaat dan hendaklah salah seorg drp keluarga mrk menyapu wangi2an. Jika tak ada, maka air pun cukup utk dibuat wangian.”


- hadith ini dh dinaiktaraf disbbkan ada pengikut atau sanad lain yg mengikut hadith tersebut iaitu yg dikeluarkn oleh al-tirmizi tp dari jalan Ahmad bin Mani’ drp Hisyam drp Yazid bin Abi Ziyad dari Abd Rahman bin Abi Laila dan drp al-Barra’ bin Azib.

- Dhaif boleh naik taraf w/pun lemah tp tak boleh naik jika lemah + cacat + mungkar + fasik + dusta

- Hadith dhaif lighairih adalah : lemah + cacat + mungkar + fasik + dusta

- Pendek kata : hadith dhaif boleh jd hasan (hasan lighairih) krn ada ciri2 hadith hasan lighairih.


Ciri2 hadith hasan lighairih :

- perawi bersifat dhabit

- tak fasik

- ada pengikut

- ada saksi yg kuatkan hadith tersebut


- Dhaif lazatih ialah : - hadith yg tak miliki satu atau lebih syarat hadith sahih atau hasan

- miliki syarat yg hmpir sama dengan sahih atau hasan dan ada kkurangan dlm

syarat perawinya (syarat perawi tu samada dia tak adil, hafalannya tak bagus

dan tak tepat riwayatnya)


2. Hadith hasan boleh jd sahih jika mempunyai pembantu atau penyokongnya.

- Contoh : yg bermaksud : “Rasulullah s.a.w memiliki seekor kuda yg ditambatkan di kandang kami

dan diberi nama Luhaif.”

- hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari dari Ubai bin al-Abbas bin Sahl drp bapanya Abbas bin sahl drp bapanya iaitu Sahl. Disbbkan Ubai seorg yg kurang dari segi ketepatan riwayatnya (dhabit) iaitu tak begitu kuat hafalannya. Tp menjadi sahih (sahih lighairih) disbbkan ada riwayat lain yg meriwayatkan hal yg sama dgn riwayat Abd Muhaimin yg kuat dhabitnya.

- Hasan lazatih ialah yg mmnuhi semua yg boleh menyebabkan hadith ini diterima, tp agak susah sikit sbb ade pelbagai peringkat, sdgkan yg tertinggi adalah hadith sahih.

3. Sahih lazatih ialah yg melengkapi syarat sahih.


Beza hadith qudsi, marfu’, mauquf dan maqtu’

Hadith Qudsi ialah :

- lafaz yg disampaikan oleh Nabi s.a.w menggunkan bahasa dan susunannya sendiri tetapi

makna atau maksud drp Allah S.W.T

- apa2 khabar atau berita yg disebut oleh Nabi s.a.w bersandarkn kpd Allah shj melalui ilham yg

tersembunyi

- merupakan ilham atau jg wahyu tnpa perantara kpd Nabi s.a.w

- byk bicarakan tntang hal2 ketuhanan, kesucian-Nya, sifat2 Allah dgn makhluk-Nya dan kkuasaan-Nya.


Hadith marfu’ ialah :

- hadith yg disandarkn kpd Rasulullah samada kata2, perbuatan, pengakuan atau sifat2nya atau pn

samada sanadnya bersambung terus pd nabi atau sebaliknya samada yg menyandarkan itu seorg

sahabat atau seorg tabi’in.

- hukumnya : boleh dijadikan hujah sekiranya disepakati dan smpai pd mrtabat sahih dan hasan


Hadith mauquf :

- hadith yg dsandarkn pd sahabat, samada dlm bntuk kata2 atau perbuatan atau pengakuan dan samada

sanadnya muttasil atau tak.

- hukumnya : boleh beramal dan di jdkn hujah hujah sekiranya disepakati dan smpai pd mrtabat sahih

dan hasan krn para sahabat tak mungkin mndustakan Nabi dan mrk adalah adil.


Hdith maqtu’ :

- hadith yg terpotong, lwnnya mausul

- segala apa yg disandarkn kpd tabi’in dan tabi’ tabi’in samada dlm bntuk perkataan, pekerjaan, perbuatan etc.

- Juga hadith yg dsandarkn pd tabi’in samada dr segi kata2 atau perbuatan atau pengakuan samada ia muttasil atau munqati’

- Hukumnya : tak boleh dibuat hujah w/pun sanadnya bersmbung sbb tabi’in tak satu zmn ngan Rasulullah s.a.w.


Wallahu ‘alam. Wassalamu bilkhair ajma’in